WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK DISELAMATKAN DARI RUMAH KEBAJIKAN PERSENDIRIAN DI BAWAH JAGAAN SEMENTARA JKM

28/04/2025 03:06 PM

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 18 kanak-kanak yang diselamatkan dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak persendirian di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini, kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata JKM negeri sedang mengesan waris kepada kanak-kanak terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan itu.  

"JKM Selangor telah mendapatkan perintah jagaan sementara selama dua bulan, kemudian proses itu akan diteruskan sehingga selesai siasatan, dan jika kita berjaya temukan waris kanak-kanak ini, mereka akan dipulangkan semula kepada pihak yang sah dan layak menjaganya," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Selangor Care Accelerator (XCare) 2025 di sini hari ini. 

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan memaklumkan pusat jagaan kanak-kanak persendirian terbabit diarahkan tutup susulan tular video yang memaparkan layanan terhadap kanak-kanak di premis itu. 

Mengulas kes bunuh di Seksyen 18 membabitkan dua peminta sedekah Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai merebut kawasan untuk melakukan aktiviti itu minggu lepas, Anfaal berkata kerajaan Selangor sedang merangka dasar OKU negeri. 

Beliau berkata ia melibatkan hak dan keperluan yang perlu disantuni berkait dengan golongan berkenaan dengan menggunakan pendekatan no one left behind (tiada siapa yang tertinggal) dan keterangkuman. 

"Sebagai contoh, keperluan OKU belia dan dewasa dalam hal seperti pengambilan kerja, jadi bagaimana kita mahu syarikat-syarikat ini menggaji mereka yang OKU, maka kita lihat kepada keterangkuman itu bagi mengelakkan isu-isu seperti mengemis dan sebagainya," katanya. 

Berhubung kes jangkitan HIV yang dilaporkan meningkat dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah, Anfaal berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani perkara terbabit daripada terus memburuk. 

Katanya, beliau akan meminta Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan untuk memberikan laporan berhubung kes seperti dadah dan isu-isu sosial yang lain supaya perkara itu dapat ditangani secara bersama.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kerana kesedaran awal dan advokasi tentang bahaya penyakit ini penting untuk kita lakukan secara bersepadu, bukan hanya dari sudut kebajikan atau pembangunan keluarga semata-mata," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan