WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, ITALI SASAR PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI - LIEW

28/04/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan Itali berusaha untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Liew dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Perusahaan dan Buatan Itali Valentino Valentini hari ini untuk membincangkan potensi bidang kerjasama antara kedua-dua negara.

"Saya akan bertemu Valentini pada 2 petang ini di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan kami berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Itali.

"Selain itu, kami ingin memupuk kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU)," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran rasmi ibu pejabat baharu Generali Malaysia di sini hari ini.

Generali, sebuah syarikat insurans dan pengurusan aset global yang ditubuhkan di Itali pada 1831, mempunyai kehadiran yang kukuh di seluruh Eropah dan di sekitarnya.

Liew menekankan bahawa hubungan yang kukuh antara Malaysia dan Itali, serta antara ASEAN dan EU, adalah penting, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global semasa.

Sementara itu, Pegawai Serantau Generali Asia Rob Leonardi berkata sejak syarikat itu memulakan operasi di Malaysia pada 2015, negara ini telah berkembang pesat menjadi pasaran utama bagi perniagaannya di Asia dan merupakan bahagian penting dalam operasi globalnya.

"Generali Malaysia kini merupakan salah satu syarikat insurans am terbesar dan syarikat insurans hayat yang berkembang pesat di negara ini, menyediakan perkhidmatan kepada lebih dua juta pelanggan yang pelbagai," katanya.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Valentini, Duta Itali ke Malaysia Massimo Rustico dan Ketua Pegawai Eksekutif Generali Malaysia Fabrice Benard.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan