WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AZERBAIJAN PENYOKONG TEGUH MULTILATERALISME: PRESIDEN ALIYEV

28/04/2025 02:12 PM

BEIJING, 28 April (Bernama-CMG) -- Azerbaijan merupakan penyokong teguh multilateralisme dan berharap terus mempergiat kolaborasi dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), kata Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev.

Beliau berpendapat pemerkasaan kerjasama antara Azerbaijan dan SCO akan membawa limpahan manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Terletak di tebing barat laut Kaspia dan rantau Caucasus Selatan, kami (Azerbaijan) bukan sahaja menjalin hubungan politik yang baik dengan banyak negara, tetapi juga mempunyai sejumlah besar infrastruktur pengangkutan serta mengekalkan perkongsian strategik yang rapat dengan China.

"Saya percaya di bawah rangka kolaborasi SCO, kedua-dua pihak akan menyambut banyak peluang kerjasama," kata Aliyev dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG).

Mengupas potensi kerjasama antara Azerbaijan dan China di arena multilateral serta usaha sama bagi menangani masalah unilateralisme, Aliyev berkata kedua-dua negara perlu melakukan usaha secara proaktif.

Beliau menganggap China sebagai peneraju Selatan Global yang memainkan peranan istimewa dalam menyatupadukan pelbagai negara.

Aliyev turut menghargai komitmen China dalam mengamalkan prinsip Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) iaitu Semangat Bandung yang menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain, menjunjung kesaksamaan dan multilateralisme serta menentang dominasi oleh sebarang negara atau blok.

"Isi kandungan ini amat selari dengan pendirian Azerbaijan dan sentiasa dipegang sebagai prinsip untuk mempertahankan kepentingan negara dan menjadi anggota aktif dalam masyarakat antarabangsa," ujar beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan