SEREMBAN, 22 April (Bernama) -- Projek menaik taraf Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di sini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini membabitkan kos RM50 juta.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) Kennith Tan berkata pembinaan yang bermula 2021 itu melibatkan penambahan bangunan baharu termasuk blok wanita, ruang pejabat dan kuarters.
"Kalau ikut kapasiti sekarang ini adalah 1,000 dan selepas naik taraf ia boleh menempatkan 1,250 kapasiti yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
"Projek melibatkan kos daripada kerajaan Persekutuan itu turut membabitkan tambahan kapasiti 250 untuk blok wanita dan fasiliti bagi ruang kanak-kanak dalam depot berkenaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JIMNS di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada isu kesesakan di depot berkenaan berikutan setiap minggu ada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dihantar pulang ke negara asal.
"Setiap minggu kami ada pemindahan PATI ke negara asal jadi jumlah masuk dan keluar mereka ini sama sahaja lebih 700 individu. Buat masa ini depot kita tak sesak, terkawal kecuali pada waktu negara dilanda COVID-19 dulu.
“Ini kerana pintu sempadan negara ditutup jadi kita tidak dapat menghantar mereka pulang ke negara asal, tetapi sekarang semuanya berada dalam keadaan terkawal," katanya sambil menambah lebih 100 pegawai dan anggota bertugas di depot itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial