WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAYBANK, PUJB BEKERJASAMA PERKASA PMKS DAN INDUSTRI HALAL DI JS-SEZ

22/04/2025 07:47 PM

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Maybank memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) bagi membentuk kerjasama strategik yang bertujuan memperkukuh sokongan kepada usahawan tempatan di Johor.

Menurut satu kenyataan hari ini, Maybank berkata kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada perniagaan yang seiring dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

MoU tersebut dimeterai di antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli dengan Ketua Pegawai Eksekutif PUJB Mohd Radzi Mohd Amin bersempena Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ di sini hari ini.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk merapatkan jurang utama dengan menawarkan penyelesaian perbankan dan luar perbankan yang disesuaikan termasuk perkhidmatan kemudahan halal, pembiayaan rantaian bekalan, program pembangunan kapasiti dan perkhidmatan penasihat strategik.

Khairussaleh berkata kerjasama tersebut menekankan komitmen Maybank untuk menyokong usahawan tempatan dan bekerjasama rapat dengan PUJB bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Beliau menegaskan ini selaras dengan fokus ekonomi utama JS-SEZ iaitu bagi memastikan perniagaan tempatan mendapat manfaat yang besar daripada pelaburan baharu dan pertumbuhan ekonomi.

"Sebagai bank terkemuka di ASEAN dengan rangkaian cawangan terbesar di Johor dan 65 tahun kehadiran perbankan di Singapura, kerjasama ini akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan serta pelaburan di JS-SEZ.

"Pertumbuhan tersebut melibatkan lebih 60,000 PMKS tempatan yang merupakan sebahagian daripada ekosistem PUJB," katanya.

Berikutan tumpuan JS-SEZ pada halal, kata Khairussaleh, kerjasama dengan PUJB juga akan menyumbang kepada pembangunan serta menempatkan JS-SEZ sebagai hab halal serantau serta menjadi pilihan global.

Beliau berkata pengalaman perbankan Islam Maybank yang kukuh di peringkat global meletakkan bank ini secara strategik bagi membantu menyediakan penyelesaian pembiayaan patuh syariah dan juga akses kepada ekosistem serta pasaran halal.

Khairussaleh menekankan Maybank komited untuk melaksanakan teras strateginya iaitu M25+.

Katanya, satu daripada keutamaan di bawah pelan ini iaitu memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam perbankan Islam dan meletakkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri halal yang berkembang, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Sejak September 2023, Maybank Islamic membimbing 360 PMKS untuk mendapatkan pensijilan halal mereka di bawah Program Fasilitasi Halal.

Inisiatif ini diperluaskan untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada usahawan tempatan, tetapi juga kepada pelabur asing dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal serta kosmetik yang ingin menembusi pasaran halal.

Menurut Pelan Induk Industri Halal 2030, industri halal di Malaysia dijangka berkembang kepada RM500 bilion menjelang 2030 dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025.

Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ yang julung kali diadakan melabuhkan tirainya hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan