SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Nestle Malaysia memperluas Program Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu (Projek SAVE) di Selangor menerusi pengenalan Program SelKitar.
Program dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) itu dilancarkan di sini hari ini bagi mengukuhkan komitmen dalam penyelesaian masalah sisa plastik, sekali gus meningkatkan kadar kitar semula isi rumah di seluruh Selangor.
Kerjasama antara kedua-dua pihak dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols dan Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir dengan disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu turut dihadiri Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin.
Amirudin dalam ucapannya berkata kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan inisiatif kelestarian alam seperti Program SELKitar yang diyakini mampu meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar di negeri ini
Beliau berkata pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Selangor memperlihatkan komitmen kerajaan negeri kepada amalan pengurusan sisa yang seragam serta lestari dan kerjasama yang dimeterai mencerminkan keyakinan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai menerusi pakatan berterusan.
“Kerjasama strategik ini sejajar dengan keutamaan yang digariskan dalam Belanjawan Selangor 2025 untuk mengurangkan sisa di majlis-majlis perbandaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak (pelupusan) kambus tanah,” katanya.
Sementara itu, Aranols berkata Program SELKitar merupakan lanjutan bermakna kepada Projek SAVE yang membuktikan komitmen syarikat dalam menangani isu sisa plastik dan menggalakkan penggunaan sumber secara kitaran.
Menerusi peluasan berterusan Projek SAVE, beliau berkata usaha itu semakin mendekatkan mereka kepada visi untuk menjadikan Malaysia bebas daripada sisa plastik, dengan pembungkus produk diurus secara mampan melalui sistem pengumpulan yang berkesan.
“Kerjasama dengan KDEBWM ini mengukuhkan ikrar global Nestle untuk mencapai sifar plastik menjelang 2025, bagi memastikan tiada pembungkus kami berakhir di tapak pelupusan atau lautan,” katanya.
Sementara itu, Jamaliah selaku pembimbing projek berkata Program SELKitar bukan sahaja sejajar dengan dasar alam sekitar negeri yang berkesan tetapi juga langkah ke hadapan dari segi cara melibatkan komuniti untuk jangka panjang.
"Dengan menggabungkan infrastruktur dengan pendidikan dan kesedaran, kami ingin mewujudkan negeri Selangor yang sedia untuk kitar semula dan mampu membina masa depan yang lebih lestari," katanya.
Dilancarkan pada 2020, Projek SAVE merupakan program besar-besaran Nestle Malaysia bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang yang telah berjaya mengelakkan lebih 33,000 tan sisa termasuk lebih 20,000 tan plastik daripada dibuang ke tapak kambus tanah dan laut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial