JAKARTA, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) mencerminkan komitmen utuh Malaysia untuk memupuk integrasi serantau, mempromosikan mobiliti mampan dan memajukan inovasi di seluruh Asia Tenggara.
Ketika merasmikan majlis pelepasan peserta di sini hari ini, beliau berkata konvoi itu yang diketuai Proton e.MAS 7 dan merentasi sembilan negara anggota ASEAN, adalah lebih daripada sekadar ekspedisi fizikal.
“Ia merupakan satu kenyataan yang kuat mengenai cita-cita kolektif kita untuk menggabungkan kemampanan, inovasi dan kerjasama serantau ke dalam mobiliti pada masa hadapan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Majlis itu, yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di sini, menghimpunkan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Sarah Al Bakri Devadason.
Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industry (MITI), ekspedisi bersejarah itu menyaksikan penampilan sulung Proton e.MAS selain mengetengahkan enam kenderaan elektrik dan empat model Proton siri X bagi melakukan perjalanan merentasi rantau ASEAN.
Konvoi itu akan melakukan perjalanan sejauh 9,000 kilometer melalui dua laluan di mana bagi laluan utara akan bermula di Hanoi kemudian ke Vietnam, Laos, Kemboja dan Thailand sebelum tiba di Malaysia manakala bagi laluan selatan bermula di Manila, melewati Filipina, Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia dan Singapura sebelum tiba di Malaysia.
Ahmad Zahid juga berkata beliau percaya inisiatif ini bukan sekadar menonjolkan peningkatan kepimpinan Malaysia dalam ruang inovasi bagi kenderaan elektrik dan automotif tetapi juga mencerminkan visi negara yang lebih luas untuk ASEAN yang berdaya tahan serta berpandangan ke hadapan.
“Saya harap akan dapat melihat impak positif yang bakal diilhamkan oleh perjalanan ke seluruh rantau ini,” katanya.
Ketika konvoi itu bergerak ke destinasi seterusnya di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, ia akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan, kerajaan dan komuniti di seluruh ASEAN, mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat serta memperkasa aspirasi bersama bagi pembangunan yang inklusif.
Beliau berkata kehadiran mereka mencerminkan semangat kebersamaan serantau dan hubungan erat diplomatik yang terus dipupuk dalam kalangan negara ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial