WILAYAH - UTARA > BERITA

TIADA PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH DASAR LAUT DI MANJUNG - MB PERAK

22/04/2025 05:30 PM

IPOH, 22 April (Bernama) -- Tiada sebarang aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut yang sedang dijalankan di kawasan pesisir pantai atau muara Sungai Batu, Manjung, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.

“Sebarang aktiviti perlombongan hanya boleh dijalankan setelah mendapat kelulusan SKSPM daripada JMG. Walaupun terdapat permohonan, ia masih dalam penilaian di peringkat Jawatankuasa SKSPM Ibu Pejabat JMG.

“Pada ketika ini, hanya aktiviti perlombongan pasir silika sahaja yang dijalankan pemaju berdasarkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) dan Laporan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bertarikh 13 Jun 2023 yang telah diberikan kepada pihak syarikat. Lokasi aktiviti berkenaan terletak sejauh lima kilometer daripada kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan DUN di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri memaklumkan bahawa berdasarkan pengubahan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Manjung 2030, kawasan pesisir pantai itu telah dikenal pasti sebagai kategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar Persisiran Pantai (KSAS) Tahap 3 terhadap ekosistem sumber marin dan tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti perlombongan.

“Keputusan juga telah dibuat di peringkat Jawatankuasa Teknikal Geospatial Pembangunan Mineral Bil. 1/2024 pada 7 Okt 2024 untuk tidak mempertimbangkan sebarang permohonan perlombongan atau pembaharuan lesen di kawasan berkenaan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan alam sekitar dan komuniti nelayan,” katanya.

Pada 14 Feb lepas, Persatuan Nelayan Manjung Utara menyuarakan kebimbangan sekiranya aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut di persisiran pantai Hutan Simpan Segari, Lumut dibenarkan kerana dibimbangi menjejaskan pendapatan nelayan.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara Mohamad Faizal Mat Zin berkata perlombongan itu jika dibenarkan bakal menjejaskan ekosistem di perairan yang menjadi sumber rezeki lebih 1,500 nelayan di utara dan selatan Manjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan