WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SOP PREMIS KKM AKAN DIPERKETAT ELAK KEJADIAN INDIVIDU MENYAMAR PETUGAS

22/04/2025 04:42 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Prosedur operasi standard (SOP) berhubung keselamatan di fasiliti kesihatan kerajaan akan ditambah baik bagi memastikan kejadian individu menyamar sebagai petugas kesihatan tidak berulang. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan pesakit serta integriti premis.

“Kita lihat keseluruhan aspek yang menjejaskan keselamatan (termasuk penjualan kelengkapan petugas secara dalam talian)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran kementerian di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang lelaki didakwa menyamar sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis awal bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan iaitu ePlacement yang baharu sudah hampir siap dibangunkan dan sedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa.

"Sistem dan algoritmanya semua kita telah lihat kembali. Saya diberitahu oleh bahagian yang bertanggungjawab dalam masa terdekat ini akan dapat kita laksanakan," katanya.

Sebelum ini, KKM mengumumkan sistem ePlacement sedia ada yang menggunakan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ akan digantikan dengan sistem yang lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran dan permintaan.

Tarikh permohonan baharu sistem ePlacement yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Mac lepas turut dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

Terdahulu, Dzulkefly menghadiri mesyuarat tertutup pengurusan tertinggi KKM bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan