WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELANTAN TIDAK PERNAH LULUS LESEN JUAL VAPE - EXCO

22/04/2025 02:17 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah meluluskan sebarang lesen perniagaan kepada premis penjualan rokok elektronik atau vape.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata tindakan rondaan dan penguatkuasaan oleh PBT, sentiasa dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan serta pengiklanan vape di Kelantan.

“Selain itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jelas mengawal dengan lebih ketat kegiatan penjualan, pengiklanan dan tempat merokok semua jenis produk termasuk vape,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hilmi berkata demikian bagi menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) mengenai langkah perlu diambil bagi menangani isu kedai nanostix dan vape, yang masih banyak beroperasi di kawasan kawalan PBT.

Beliau berkata pada tahun lepas, 40 operasi vape dilaksanakan selain menyita 67 premis.

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak 10 operasi dilaksanakan dan 16 premis disita. Kita mohon semua pihak di Kelantan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan vape,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan