WILAYAH - SARAWAK > BERITA

586 PEGAWAI DITAULIAH SEBAGAI CEIO

22/04/2025 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 586 pegawai daripada sektor awam, syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan sektor swasta, telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Majlis anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Menurut kenyataan SPRM, kesemua peserta ditauliahkan selepas berjaya melengkapkan empat modul utama Program CeIO, yang dilaksanakan sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Modul berkenaan meliputi Pengurusan Integriti dan Perundangan; Pengurusan Aduan, Pengesanan dan Pengesahan serta Tatatertib; Pematuhan, Pengukuhan Integriti dan Tadbir Urus; dan Pembentukan Pelan Integriti serta Pengurusan Risiko Rasuah.

Program CeIO diperkenalkan pada 2010 susulan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009, bagi memperkasakan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam, SBK serta swasta dan sehingga kini seramai 2,851 pegawai telah dilatih.

“Pegawai Integriti Bertauliah berperanan merancang, melaksana serta memantau keberkesanan program integriti, selain menjadi pemangkin kepada pembudayaan kerja berintegriti serta pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis konvokesyen itu Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Indera Junipah Wandi.

Azam dalam ucaptamannya berkata program CelO bukan sekadar program latihan, tetapi merupakan pelaburan strategik jangka panjang negara dalam membina sistem tatakelola yang telus, beretika dan bebas rasuah.

“Kejayaan agenda integriti nasional bergantung kepada komitmen menyeluruh daripada semua pihak, termasuk kepimpinan tertinggi, pelaksana dasar dan CelO sebagai pemacu utama budaya integriti dalam organisasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan