KEPALA BATAS, 21 April (Bernama) -- Institusi pendidikan yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) turut digalakkan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi memastikan inisiatif tersebut dapat disampaikan kepada semua pelajar termasuk yang berada di luar bidang kuasa KPM serta mendapat sokongan menyeluruh daripada semua pihak.
“Bermula hari ini di seluruh Malaysia, seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing. Pelancaran pemakaian Jalur Gemilang ini juga dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
“Bagi institusi pendidikan yang tidak berada di bawah KPM, kita menggalakkan mereka untuk turut serta memakai lencana Jalur Gemilang, agar inisiatif ini dapat diperluaskan dan disokong oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu, berkuat kuasa pada 21 April 2025.
Langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan murid yang tidak memakai lencana berkenaan tidak akan dikenakan sebarang tindakan, memandangkan inisiatif ini bukan bersifat menghukum sebaliknya bertujuan menyuburkan semangat cinta kepada negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan inisiatif ini merupakan iltizam KPM bagi memastikan nilai-nilai berkaitan semangat kenegaraan, perpaduan dan jati diri kebangsaan dapat dipupuk sejak peringkat prasekolah hingga ke semua institusi pendidikan di bawah kementerian.
Beliau turut memaklumkan bahawa lencana Jalur Gemilang akan diberikan secara percuma kepada semua pelajar, dengan sokongan para guru yang akan sentiasa memberi peringatan tentang tatacara pemakaian serta etika yang berkaitan.
“Ia juga merupakan satu bentuk penghormatan yang wajar diberikan apabila mereka memakai Jalur Gemilang ini. Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada semua guru, pelajar dan pentadbir yang telah bersama-sama menjayakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada hari ini dengan lancar dan sempurna.
“Semoga dengan iltizam, semangat dan komitmen seperti ini, kita dapat terus melahirkan generasi MADANI yang memiliki jati diri kukuh serta sentiasa menjunjung martabat negara, termasuk memberi penghormatan sewajarnya kepada bendera kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial