WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID SARAN MALAYSIA, INDONESIA FOKUS HUBUNGAN RAKYAT DENGAN RAKYAT

21/04/2025 12:17 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 April (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar hubungan Malaysia dan Indonesia bukan hanya berkisar kepada kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan sebaliknya tetapi lebih memfokus kepada hubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau percaya hubungan rakyat kedua-dua negara yang dipererat dan diperkukuh mampu memberikan dividen politik selain pulangan perniagaan serta perdagangan yang baik untuk Malaysia dan Indonesia.

“Di samping kita mempertahankan rasa kebersamaan antara Malaysia dan Indonesia, kita jangan hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin dan nilai-nilai sentimental sahaja.

“Justeru, hubungan ini bukan hanya kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan tetapi lebih kepada hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari.

Menyentuh mengenai tarif Amerika Syarikat, Ahmad Zahid berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 harus mendorong semua negara anggota blok itu agar meningkatkan kerjasama dalam menangani isu tersebut.

Majlis itu menghimpunkan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Indonesia serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan Ahmad Zahid sekali gus mengeratkan hubungan antara komuniti Malaysia di luar negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu disambut mesra oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN Datin Sarah Al Bakri Devadason.

Acara dimulakan dengan lagu kebangsaan dan doa diikuti ucapan alu-aluan oleh Syed Mohamad Hasrin dalam semangat Aidilfitri yang mempamerkan budaya Malaysia apabila tetamu mengenakan pakaian batik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan