SUNGKAI, 20 April (Bernama) -- Jambatan Sg Klah yang runtuh pagi tadi sehingga mengakibatkan laluan keluar masuk ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Camp Site di sini terputus, akan dibaiki secepat mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata insiden itu akan dipanjangkan kepada pihak berwajib esok bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan kerajaan negeri.
“Esok saya akan pastikan pihak mana yang bertanggungjawab terhadap isu ini bagi memudahkan tindakan susulan yang kerajaan negeri akan luluskan.
“Saya datang ke sini pada malam ini juga untuk pastikan yang masih terkandas di sebelah Kampung Sungai Tisong itu dapat meneruskan urusan seharian mereka termasuk pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi itu di sini, lewat petang tadi.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan seramai 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik terkandas akibat kejadian itu.
Mohammad Nizar turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Malim serta Pejabat Penghulu Mukim Sungkai yang membantu memudahkan urusan berhubung kejadian tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial