LABUAN, 20 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan bantuan sebanyak RM58.8 juta untuk komuniti asnaf di Labuan bagi tahun 2025.
Peruntukan itu termasuk RM39 juta untuk Program Bantuan Hidup dan RM19.8 juta bagi Bantuan Keperluan Asas.
Kedua-dua bantuan akan memanfaatkan lebih 6,000 penerima berdaftar di Labuan secara bulanan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer semasa Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 yang berlangsung di Medan Selera di sini hari ini.
Majlis itu, yang dianjurkan oleh MAIWP Labuan dengan kerjasama JAWI Labuan, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan Pusat Kutipan Zakat MAIWP, dikunjungi lebih 5,000 orang.
Hadirin termasuk keluarga asnaf, pegawai kerajaan, pemimpin komuniti, pembayar zakat dan penduduk setempat.
Lebih 35 gerai yang dikendalikan oleh masjid dan surau tempatan di bawah JAWI menambahkan keceriaan sambutan itu.
Pada majlis itu, anak jati yang juga pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan Shaelayani Mohd Hasli dinobat sebagai penerima Anugerah Ikon Asnaf MAIWP Labuan 2025.
Sebelum ini, beliau menerima bantuan zakat pendidikan MAIWP sejak sekolah menengah hingga ke universiti.
Shaelayani membawa pulang wang tunai RM1,000, cenderahati dan sijil penghargaan.
MAIWP turut mengagihkan duit raya RM20 kepada 2,000 kanak-kanak daripada keluarga asnaf yang berjumlah RM40,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial