Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada hari kedua Syawal baru-baru ini yang memusnahkan dan menjejaskan banyak kediaman, jelas menjadi peringatan perit untuk pemilik memberi pertimbangan serius menginsuranskan aset itu serta kandungannya dalam mengurangkan kerugian akibat bencana.
Insiden bertarikh 1 April itu sememangnya mengejutkan, apalagi Malaysia bukannya sering berdepan kebakaran atau letupan berskala besar yang memusnahkan rumah serta harta benda sekelip mata dengan impaknya terus jelas sehingga ke hari ini.
Letupan dengan kepulan awan cendawan besar dan api setinggi 20 tingkat yang mencetuskan bahang haba, memusnahkan harta kediaman dan kenderaan dalam radius 500 meter.
Akibatnya, dianggarkan 1,254 orang daripada 308 keluarga terjejas, 87 rumah musnah dan 148 yang lain memerlukan pembaikan.
Tragedi itu jelas membuktikan bencana boleh berlaku pada bila-bila masa serta di mana sahaja.
Lebih penting lagi, ia menunjukkan betapa pentingnya bagi pemilik rumah mempunyai insurans rumah sebagai perisai atau perlindungan kewangan dalam menangani keadaan di luar jangka sedemikian.
Malangnya, tidak ramai yang menyedari mengenai tiga jenis liputan atau perlindungan insurans rumah seperti polisi pemilik rumah (HO), polisi isi rumah (HH) dan insurans kebakaran.
Polisi Pemilik Rumah
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), insurans rumah melindungi kerosakan akibat letupan, yang termasuk di bawah polisi pemilik rumah (HO).
Polisi HO adalah komprehensif yang meliputi struktur fizikal rumah terhadap risiko seperti kebakaran, kilat, letupan, bencana alam dan paip pecah.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM Chua Kim Soon berkata bagi insiden di Putra Heights misalnya, ini meliputi kerosakan akibat letupan termasuk letupan saluran paip gas dengan pampasan berdasarkan kos pembinaan semula.
"Bagi tujuan tuntutan, mereka perlu mendapatkan kelulusan bertulis syarikat insurans sebelum meneruskan sebarang pembaikan rumah, termasuk kerja-kerja kecemasan kerana kerja tanpa kebenaran mungkin tidak dilindungi oleh polisi dan sijil pemilik rumah," katanya kepada Bernama.
Menurut Chua, bagi pemilik yang masih terikat dengan pinjaman gadai janji, pihak bank biasanya memerlukan insurans pemilik rumah sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman manakala untuk kondominium atau pangsapuri pula wajib bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengambil polisi induk perlindungan insurans rumah.
Polisi HO berharga purata RM382 setahun untuk rumah pangsa dan pangsapuri, RM377 untuk rumah bertanah manakala harga premium bergantung kepada jumlah nilai rumah yang diinsuranskan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Insurance Bhd Fukhairudin Mohd Yusof berkata polisi rumah itu melindungi struktur bangunan daripada risiko dengan memastikan kepentingan kewangan bank terhadap hartanah itu terpelihara.
Ini secara amnya bermakna pemilik rumah dengan pinjaman aktif berkemungkinan mempunyai perlindungan diperlukan untuk tujuan tuntutan.
Polisi Isi Rumah
Polisi isi rumah (HH) pula melibatkan perlindungan kandungan isi rumah, melindungi daripada kehilangan atau kerosakan akibat kejadian seperti kebakaran, kecurian dan bencana alam tertentu.
Tidak seperti polisi HO yang diwajibkan apabila pinjaman perumahan terbabit, polisi HH adalah pilihan, boleh dibeli secara berasingan untuk menampung kandungan rumah anda dengan harga purata RM142 manakala premium bergantung kepada jumlah nilai yang diinsuranskan.
Namun, ia sering diabaikan kerana tidak banyak kesedaran mengenainya.
Berikutan itu, ramai pemilik rumah yang terjejas atau tidak dilindungi untuk kehilangan atau kerosakan kandungan isi rumah mereka dalam kejadian tidak dijangka.
Insurans Kebakaran
Chua berkata insurans kebakaran standard atau asas pula merangkumi perlindungan kerosakan akibat kebakaran, kilat serta letupan akibat gas yang digunakan untuk tujuan domestik.
“Bagi kerosakan akibat letupan selain daripada gas domestik, tambahan pilihan boleh dibeli dengan insurans kebakaran. Pampasan pula adalah berdasarkan kos pembinaan semula," katanya.
Selain itu, Fukhairudin berkata insurans kebakaran tidak wajib untuk semua pemilik rumah melainkan ia diperlukan oleh bank mereka untuk tujuan pinjaman perumahan.
“Dari sudut pandang masyarakat, salah satu sebab utama pengambilan rendah mungkin disebabkan oleh kurangnya kesedaran atau kemampuan, terutama dalam kalangan segmen penduduk berpendapatan rendah," katanya.
Kadar Pengambilan Insurans Rumah
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 9.10 juta isi rumah pada 2024 namun hanya 3.88 juta polisi insurans kebakaran dan rumah dicatatkan yang mencerminkan kadar pengambilan sebanyak 42.6 peratus.
Sebagai perbandingan, sebanyak 8.88 juta isi rumah pada 2023 dengan 3.89 juta polisi insurans kebakaran dan rumah direkodkan iaitu memaparkan kadar pengambilan sebanyak 43.8 peratus.
Chua berkata dengan kadar pengambilan sekitar 43 peratus, ini menunjukkan lebih separuh daripada isi rumah Malaysia masih tidak dilindungi daripada kerosakan struktur akibat kebakaran, banjir dan cuaca buruk.
Di samping itu, data Insurance Services Malaysia Bhd menunjukkan premium bertulis kasar (GWP) bagi polisi HO di Malaysia meningkat 4.35 peratus kepada 787.30 juta bagi tempoh Januari-September 2024 berbanding 754.46 juta setahun sebelumnya.
GWP bagi polisi HH di negara ini meningkat 10.35 peratus kepada 32.21 juta bagi tempoh Januari-September 2024 berbanding 29.28 juta dalam tempoh sama pada 2023.
Jaminan Perlindungan Keseluruhan Rumah
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Bhd Shahrul Azuan Mohamed berkata jurang kesedaran mengenai perlindungan insurans rumah masih wujud, termasuk membabitkan polisi kebakaran. “Ramai pemilik rumah menganggap risiko banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain dilindungi secara automatik di bawah polisi standard. Namun, pada hakikatnya, perlindungan bahaya khas mesti dibeli secara berasingan," katanya.
Bagi tujuan perlindungan isi rumah, Zurich Malaysia menyarankan agar pemilik rumah memilih polisi HH untuk melindungi harta benda dan barang-barang mereka dengan lebih baik, sekali gus memastikan fikiran lebih tenang.
“Walaupun terdapat peningkatan penggunaan polisi HH pada tahun lepas, pengambilan keseluruhan kekal agak rendah, khususnya disebabkan oleh kekurangan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan perlindungan rumah yang komprehensif," katanya.
Jelaslah, insiden Putra Heights menjadi pembuka mata bahawa bencana boleh melanda tanpa mengira masa dan lokasi yang mampu mengubah segala-galanya dalam sekelip mata.
Walaupun bencana tidak dapat dijangka, persediaan atau perisai bagi pemilik rumah adalah memastikan mempunyai perlindungan insurans rumah tepat demi melindungi rumah, harta benda dan kesejahteraan kewangan.
Tidak kiralah menerusi polisi pemilik rumah yang komprehensif, perlindungan isi rumah atau insurans kebakaran, apa yang lebih utama adalah mengambil langkah perlu hari ini sebagai jaminan ketenangan fikiran dan perlindungan selain mengurangkan potensi kerugian di masa depan apabila berlaku kejadian tidak diingini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial