WILAYAH - SARAWAK > BERITA

THE POCKET ROCKETMAN TERIMA GERAN INDIVIDU RM200,000

19/04/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Apr (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan geran individu berjumlah RM200,000 kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk bergerak secara profesional bagi tahun 2025-2026.

Hannah berkata geran tersebut bertujuan memberi sokongan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu merangkumi pengurusan jurulatih, latihan dan kejohanan serta peralatan pertandingan termasuk perubatan dan sains sukan.

Beliau berkata pihaknya juga menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pelumba berusia 37 tahun itu iaitu layak ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada tahun hadapan

“Setelah berbincang, kita merasakan geran individu adalah yang paling sesuai untuk kita menyokong karier profesional individu Datuk Azizulhasni kerana ia fleksibel untuk beliau mengikuti latihan sendiri.

“Ia juga disokong oleh pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemberian geran individu, Hannah berkata keputusan berkenaan tidak dibuat dalam tempoh yang singkat malah melibatkan pelbagai pihak.

Menurut menteri, beliau percaya Mohd Azizulhasni akan memanfaatkan geran itu sebaiknya berdasarkan sikap dan keperibadian yang sering ditampilkan atlet itu sepanjang berada dalam skuad kebangsaan.

"Saya rasa dua ratus ribu adalah sesuatu yang Malaysia mampu. Bagi sesetengah atlet lain, saya mungkin bimbang untuk memberikan mereka begitu banyak kebebasan untuk membuat keputusan mengenai latihan mereka sendiri, tetapi Mohd Azizulhasni tidak mempunyai masalah disiplin atau kurang motivasi.

"Apabila anda mempunyai seseorang yang memecahkan rekod kebangsaannya sendiri di Paris hanya lapan bulan lalu selepas menjalani pembedahan yang begitu serius, saya fikir belum tiba masa untuk mengetepikan beliau, jadi saya fikir itulah sebabnya mengapa ini pelaburan yang baik bagi pihak rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh menyambut baik pemberian geran individu kepada Mohd Azizulhasni.

"Saya percaya Datuk Azizulhasni akan memberi impak yang signifikan pada Sukan Asia (2026)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan