BACHOK, 19 April (Bernama) -- Inisiatif kerajaan melalui penganjuran Program Tautan Perdana akan diperluaskan pada masa akan datang, dalam usaha menyampaikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata objektif utama program itu adalah untuk mendekatkan hubungan antara agensi dan jabatan kerajaan dengan penduduk kampung, selain menyantuni masyarakat sekitar.
“Tugas seorang pegawai awam bukan semata-mata di pejabat. Ketika cabaran perkhidmatan awam yang semakin rumit dan sentiasa berubah, menjadi satu keperluan kepada pegawai awam untuk turun padang ke kampung-kampung bagi mengambil tahu isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
“Justeru, program sebegini antara cara kerajaan untuk memberitahu pegawai awam mengenai peranan dan tugas hakiki mereka iaitu mendekati serta menyantuni rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana Jabatan Perkhidmatan Awam - Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah INTAN Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata lapan skop dijadikan tumpuan bagi program itu termasuk infrastruktur, pengangkutan dan pendidikan.
“Saya ambil contoh aspek infrastruktur, kita tidak diberikan peruntukan khusus untuk menaik taraf kemudahan di Kampung Telaga Ara ini, namun ia tidak menjadi penghalang kepada kita untuk turun padang dan membantu masyarakat kampung.
“Kita semua tahu bahawa faktor pendidikan dan pembangunan sahsiah adalah penting dalam kita melahirkan generasi yang bijak dan tinggi dengan nilai-nilai murni, sekali gus membantu mengubah masa depan untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Terdahulu, pada program berkenaan Wan Ahmad Dahlan turut menyerahkan sumbangan naik taraf kemudahan kepada SK Telaga Ara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial