KUCHING, 19 April (Bernama) -- Rakyat perlu memastikan kestabilan negara dijaga terlebih dahulu dalam berhadapan dengan cabaran semasa dunia bagi memastikan kekalnya daya tahan dan daya saing negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif kepada negara-negara dagangannya baru-baru ini seharusnya menjadi peringatan untuk sentiasa menjaga keadaan negara.
“Donald Trump menetapkan tarif menggemparkan. Kita dikenakan 24 peratus, ada negara 50 peratus Indonesia dan Thailand 30 peratus.
“Jadi apa yang kita lakukan? Ia mengingatkan kita, kita kena siap jaga rumah tangga kita kena betul. Negeri kita, ekonomi kita supaya bila ada malapetaka yang menimpa kita, kita dapat bertahan. Ini yang disebut daya tahan supaya kita ada daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Majlis sambutan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet Sarawak.
Anwar berkata untuk mewujudkan kestabilan ini, semua rakyat perlu bersyukur dengan nikmat yang sudah diperoleh, termasuk kepimpinan negara yang mendengar pandangan dan keluhan rakyat untuk memperbaiki kelemahan dan memperbetulkan tatakelola pentadbiran.
“Syukur ini penting. Kadang-kadang kita dapat manfaat kita anggap semuanya biasa sahaja… tidak.
"Kadang-kadang kita lupa syukur. Jangan kita kufur menolak nikmat Tuhan. Kalau kita menolak, asyik maki, asyik marah, asyik tak kenang budi… bahaya, takut azab yang pedih akan menimpa kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan peranan negeri-negeri dalam Persekutuan untuk melakar perancangan pembangunan yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau berkata Sarawak adalah antara beberapa negeri yang telah memberikan sumbangan yang besar, malah beberapa negara telah memberikan pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif ekonomi yang dijalankan di Bumi Kenyalang itu.
“Sarawak sekarang memberikan sumbangan yang besar. Di mana-mana negara yang saya pergi, sama ada Eropah, negara China atau Jepun, apa lagi di ASEAN, kita anggap Sarawak ini mempunyai potensi yang besar, sebagai energy hub of the region,” katanya.
Beliau turut berterima kasih di atas kerjasama kerajaan Sarawak dalam menjayakan program sambutan hari ini yang bertujuan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama rakyat di Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial