WILAYAH - SARAWAK > BERITA

41 MUZIUM LAKSANA IPIM UNTUK PEMBELAJARAN INTERAKTIF SEJARAH, BUDAYA

18/04/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Sebanyak 41 Muzium Persekutuan dan Negeri di seluruh negara akan melaksanakan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) iaitu inisiatif yang menggabungkan pendidikan formal dan tidak formal mengenai sejarah dan budaya negara melalui pendekatan ‘hands on’ terhadap koleksi muzium.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program tersebut dirangka berdasarkan Rancangan Pendidikan Muzium berasaskan koleksi artifak, yang disesuaikan dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) serta Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi mata pelajaran Sejarah, bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menurut beliau program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk memahami serta menghayati warisan sejarah dan kepelbagaian budaya, yang wajar dihargai dan dipertahankan sebagai identiti negara.

“Pendekatan pembelajaran ini melibatkan rangsangan deria bagi meningkatkan tumpuan pelajar serta melatih mereka mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

“Program IPIM ini selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan hormat dan keyakinan,” katannya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, permohonan menyertai program tersebut dibuka bermula 16 April lepas dan boleh dibuat melalui pautan https://ipim.jmm.gov.my/.

Selain itu, pihak sekolah atau guru yang berminat boleh menghubungi urus setia Unit Pendidikan Muzium di talian 03-2267 1000 (sambungan 111/166) untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan