WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN TETAP LAKSANA MEKANISME KETELUSAN HARGA UBAT MULAI 1 MEI - ARMIZAN

18/04/2025 04:47 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kerajaan tetap melaksanakan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat pada 1 Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata draf perintah itu, yang antara lain mewajibkan perkhidmatan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat sedang diteliti Pejabat Peguam Negara.

“Mengikut perancangan kita dan Kementerian Kesihatan sendiri maklumkan (pelaksanaan) berkenaan bermula sebaik sahaja perintah itu diluluskan. Di dalamnya akan ada butiran mengenai kaedah pemaparan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa penguatkuasaan perintah itu akan dilaksanakan secara berhemah pada peringkat awal.

“Jangan khuatir, pada peringkat awal penguatkuasaan, bukan kita akan terus ambil tindakan. Kita beri tempoh untuk membuat persiapan dan tempoh advokasi sebelum penguatkuasaan mula diambil atau tindakan kompaun mula dilaksanakan,” katanya.

Armizan berkata pelaksanaan mekanisme berkenaan tidak sepatutnya dipertikai kerana ia bertujuan memastikan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat-ubatan dan membuat keputusan ketika mendapatkan rawatan.

“Mari kita bersikap adil dan telus, kita tidak mahu rakyat hanya dapat tahu harga ubat setelah mereka menggunakan perkhidmatan kerana pada waktu itu mereka wajib bayar (tiada pilihan).

“Apabila menjual barangan kepada pengguna, maka kena ingat bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapat maklumat dan memilih. Jadi, perlulah ada maklumat harga barang itu,” katanya.

Armizan berkata perintah itu selaras dengan resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei 2019, yang menggalakkan kerajaan di seluruh dunia mengambil langkah bersesuaian bagi menjamin ketelusan harga ubat kepada pengguna.

Beliau juga berkata keperluan untuk memastikan pengguna mendapat maklumat bagi apa-apa barangan yang dijual, termasuk ubat adalah termaktub dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Armizan mempersoalkan mengapa ada pihak mahu harga ubat-ubatan dikecualikan daripada dipamerkan?

“Sebagaimana saya sebut, kita bukan hendak kawal harga ubat, kita hanya mahu harga dipaparkan. Jika ada pergerakan yang signifikan terhadap harga ubat itu, mereka boleh tukar paparan harga.

“Jadi, saya harap pihak yang berkenaan, kalau masih mahu meneruskan agenda mereka, bantu saya untuk jawab kepada pengguna dan rakyat, kenapa perlu dikecualikan?” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan