WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA-CHINA TUBUH MAJLIS PERUNDINGAN UNTUK PANTAU 31 MOU - MOHAMAD

18/04/2025 03:33 PM

TAPAH, 18 April (Bernama) -- Malaysia dan China akan menubuhkan sebuah Majlis Perundingan bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan 31 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua negara pada Rabu lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebilangan besar MoU tersebut melibatkan pelbagai sektor dan kementerian, menjadikannya sangat penting untuk memastikan koordinasi yang rapi.

Mohamad berkata untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan MoU, setiap kementerian dan agensi terlibat perlu mengemukakan laporan suku tahunan kepada Kementerian Luar, yang akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri sebagai laporan status.

"Kementerian Luar kedua-dua negara akan berperanan sebagai koordinator. Kami telah menandatangani banyak MoU, tetapi kita perlu tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Kita tidak mahu selepas menandatangani dokumen, tiada tindakan susulan yang diambil," kata Mohamad.

Beliau berkata sistem yang teratur akan dilaksanakan bagi memastikan hasil yang diperoleh dapat disegerakan dan diterjemahkan untuk manfaat rakyat.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas turun berkempen bersama calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden China Xi Jinping, pada Rabu menyaksikan pemeteraian 31 MoU dan pertukaran nota yang melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Xi mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, yang berakhir semalam, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan peningkatan hubungan diplomatik kedua-dua negara kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan