PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Malaysia bersedia merealiasikan Pan-Asian Railway Network (PARN), iaitu pembangunan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia ke China bagi tujuan perdagangan khususnya dalam industri halal.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Presiden China Xi Jinping yang mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari berakhir semalam turut menyatakan sokongan terhadap PARN yang dilihat dapat membuka pasaran di barat China iaitu wilayah Inner Mongolia.
“… ia juga (membuka pasaran) di wilayah Xinjiang. Ini wilayah-wilayah di China di mana ramai penganut Islam, maka hal ini boleh membuka pasaran halal, produk halal kepada negara kita.
“Ia (produk halal) boleh diangkut melalui kereta api sampai ke wilayah-wilayah China,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad.
Loke berkata kerajaan MADANI menekankan pembangunan kereta api secara global kerana ia membuka banyak peluang besar kepada negara dan kerjasama serantau.
Setakat ini, beliau berkata Malaysia telah memulakan projek rintis dinamakan ASEAN Express iaitu usaha sama antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan State Railway of Thailand (SRT) pada tahun lepas.
“Ia usaha sama antara KTMB dengan SRT di Thailand dan juga pihak dari China untuk membawa kargo dari Malaysia sampai ke Chongqing, China.
“Kontena itu boleh sampai di Chongqing dalam tempoh sembilan hari. Jadi itu yang kita usahakan dan kita harap ini dapat direalisasikan sebagai satu perkhidmatan yang tetap nanti,” katanya.
Beliau berkata wujud beberapa kekangan dalam usaha melaksanakan perkhidmatan kereta api global antaranya perkara berkaitan undang-undang serta sekatan dan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan negara terbabit berhubung perkara itu.
Loke berkata setakat ini, kerja menaik taraf landasan kereta api dari Johor Bahru, Johor ke Padang Besar, Perlis giat dilaksanakan dan dijangka siap akhir tahun ini.
“Kerajaan melaburkan banyak dana untuk menaik taraf landasan ini menjadi landasan berkembar yang akan siap pada tahun ini. Dengan siapnya landasan berkembar ini, kita ada rangkaian landasan berkembar dari Johor Bahru sampai ke Padang Besar,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pengangkutan Thailand Suriya Juangroongruangkit pada 2 Mei ini bagi membincangkan mengenai PARN.
Tahun lepas, Loke menyeru negara anggota ASEAN terus berusaha meningkatkan integrasi dengan menghubungkan rangkaian kereta api bagi mencapai aliran bebas barangan yang lebih luas di rantau ini.
Beliau berkata kesalinghubungan, terutamanya untuk menghubungkan rangkaian kereta api dari Semenanjung Malaysia ke Thailand, Laos dan China, telah lama menjadi visi jangka panjang ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial