JASIN, 18 April (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Melaka ICT Holdings (MITCH) menyasarkan membina 30 menara telekomunikasi pada tahun ini, terutamanya di kawasan luar bandar dan dijangka selesai menjelang November depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pembinaan menara menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu juga bagi memberi keselesaan kepada masyarakat sekali gus menyelesaikan masalah capaian Internet rendah di kawasan terlibat.
"Pembinaan menara telekomunikasi ini berdasarkan permintaan dan aduan yang diterima berkaitan masalah yang dihadapi penduduk setempat, sebagai contoh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim kita mengenal pasti tiga menara telekomunikasi baharu bakal dibina iaitu di Hospital Jasin, Chenderah dan Kampung Seri Kesang.
"Justeru, kita berharap komitmen dan kerjasama daripada agensi kerajaan dalam memastikan semua urusan dapat diselesaikan seperti urusan tanah dan kelulusan permit supaya pembinaan ini berjalan lancar, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi di Ladang Diamond Jubilee, Rim di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka Muhammad Luqman Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr Nazdiana Ab Wahab.
Mengulas lanjut Fairul berkata pembinaan menara di Ladang Diamond Jubilee itu bakal menyediakan liputan rangkaian yang memberi manfaat kepada penduduk di sekitar di ladang berkenaan, pengguna jalan raya di kawasan Rim dan masyarakat Kampung Bukit Katong.
Beliau berkata dengan liputan yang lebih baik, kawasan-kawasan berkenaan juga akan dapat menikmati rangkaian komunikasi yang lebih berkualiti sekali gus menyumbang kepada keselesaan hidup dan produktiviti harian masyarakat.
"Kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak dalam usaha membangunkan infrastruktur di negeri ini amat dihargai dan memberi impak yang besar kepada kemajuan serta kesejahteraan rakyat di Melaka," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata MCMC juga telah menetapkan aspirasi bagi mencapai liputan jalur lebar 100 peratus menjelang 2025.
Satu daripada inisiatif utama ke arah matlamat itu ialah pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi secara komersial di kawasan yang dikenal pasti mempunyai liputan lemah menggunakan penyelesaian Multi Operator Core Network (MOCN).
Beliau berkata di Melaka terdapat 10 lokasi strategik telah dikenal pasti iaitu Pulau Besar, Kampung Kekabu (Lubok China), Kampung Ulu Sungai Buloh, Kem 96 DPP Masjid Tanah, Kampung Baru Lendu, KOA Machap Umboo, Bukit Batu Lebah, Jalan Tebong, Simpang Gading, dan Ladang Diamond Jubilee.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial