WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADUN PERAK MAHU TINDAKAN TEGAS BANTERAS KILANG E-WASTE HARAM

16/04/2025 07:53 PM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak hari ini mencadangkan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas bagi melindungi alam sekitar termasuk ke atas kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram.

S. Wasanthee (PH-Hutan Melintang) berkata sebuah unit tindakan alam sekitar boleh ditubuhkan bagi membuat pemantauan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Unit ini akan melakukan pemeriksaan berkala dan menyediakan sistem pelaporan awam digital kepada orang ramai,” katanya pada sesi perbahasan Titah Diraja pada persidangan DUN di sini hari ini.

Wasanthee berkata masjid dan sekolah boleh dilantik sebagai ejen alam sekitar yang boleh menjalankan kempen pengumpulan e-waste dan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada pihak yang mempunyai permit.

Sementara itu, Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pula mencadangkan kerajaan negeri memperketatkan proses pengeluaran lesen serta kawalan pemantauan terhadap operasi kuari hususnya di kawasan sensitif yang berhampiran dengan penempatan.

"Saya mencadangkan agar stesen udara berskala kecil dipasang di kawasan tumpuan bagi membolehkan pemantauan kualiti udara yang lebih teliti dengan penguatkuasaan bersepadu perlu dilaksanakan ke atas kes pembakaran terbuka dan pembuangan sampah haram melalui kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, JAS, polis dan agensi berkaitan.

"Sebab ini penting bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan tegas terhadap para pelaku. Saya menyeru agar dasar zon penampan diwajibkan dalam semua pelan perancangan bandar bagi memastikan kawasan industri tidak terlalu dekat dengan kawasan kediaman dan mengehadkan aktiviti berat dalam radius tertentu daripada penempatan awam," katanya.

Sementara itu, Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) berkata langkah lebih tegas perlu dikenakan kepada pihak yang mencemari kebersihan pantai dan laut di negeri ini.

"Sebagai daerah pelancongan utama di Perak, kawasan Manjung mempunyai beberapa pantai yang menjadi tumpuan dan pada 2023 lebih 69 tan sampah dihanyutkan akibat fenomena air pasang di sepanjang Pantai Teluk Batik," katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan