KEPALA BATAS, 15 April (Bernama) -- Keakraban persahabatan lebih 40 tahun terutama di awal pembabitan Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi di dalam UMNO, meninggalkan kenangan cukup mendalam kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.
Berpeluang bertemu dengan Tun Abdullah di kediaman sahabatnya itu di Kuala Lumpur pada 9 April, Roslan tidak menyangka bahawa itu akan menjadi pertemuan terakhir mereka, selepas mendapat khabar pemergian Tun Abdullah malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Mengimbau kembali hubungan mereka, Roslan yang menjadi Adun selama tiga penggal (2004-2018) berkongsi, beliau mula mengenali Tun Abdullah atau mesra dipanggil Pak Lah sejak berada dalam jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, ketika baharu berusia 23 tahun ketika itu.
Pertalian hubungan yang sudah lama terjalin menyebabkan mereka saling mengenali keperibadian masing-masing dan perkara paling berbekas dihatinya ialah kemuliaan sikap Allahyarham yang jarang marah kepada sesiapa sahaja.
“Sepanjang mengenali Pak Lah, kalau beliau tak gembira dengan kita beliau takkan tunjuk, seingat saya tak pernah berlaku (Pak Lah memarahi sesiapa).
“Saya masih ingat ketika kali pertama saya menang jadi wakil rakyat dalam minggu pertama saya berjumpa dengan beliau, Pak Lah sebut, ‘Lan, kita dah jadi wakil rakyat kita buat bagi orang seronok, bagi orang suka...kita dapat pahala.’ Itu ayat yang saya tak boleh lupa sampai bila-bila jadi, bila beliau tak ada saya dan keluarga amat merasai kehilangan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Keperibadian dan ketokohan yang dimiliki Tun Abdullah juga sangat dekat di hati rakyat, khususnya di Kepala Batas sehingga Pak Lah cukup disenangi dan disayangi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, pangkat dan agama, menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Beliau berkata Pak Lah meninggalkan jasa yang begitu besar kepada rakyat Pulau Pinang, terutama dalam menangani isu kemiskinan ketika Allahyarham memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Meskipun sibuk dengan tugasan sebagai Perdana Menteri, Musa berkata Tun Abdullah tetap kerap turun bertemu dengan pemimpin di peringkat bahagian UMNO, bagi menyelami permasalahan dan berusaha membantu mencari penyelesaian.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengimbau kembali pertemuan pertama mereka yang berlaku pada April 1982, ketika majlis perjumpaan Barisan Nasional (BN) bersama dengan calon-calon Pilihan Raya Umum (PRU) di Pulau Pinang.
“Beliau memberikan saya tanggapan sebagai seorang pemimpin yang sangat baik hati dan mesra, terutamanya kepada saya yang masih baru dalam dunia politik. Tidak lama selepas pilihan raya, beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan, beliau berfikiran terbuka dan responsif, serta memainkan peranan penting dalam usaha bersama mencari penyelesaian yang praktikal dan boleh diterima bersama bagi isu dan masalah berkaitan pendidikan Cina.
“Kami berterusan mengunjungi Pak Lah semasa Hari Raya dan perayaan lain, walaupun selepas beliau tewas dalam pemilihan parti dan digugurkan sebagai Menteri. Saya masih ingat dengan jelas satu petang pada tahun 1987, ketika saya (ketika itu Setiausaha Politik KM Dr Lim Chong Eu) ternampak beliau dan isterinya Datin Seri Endon sedang menunggu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Saya sendiri memandu dan menghantar mereka pulang ke Kepala Batas,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden Gerakan berkata selepas Pak Lah menjadi Perdana Menteri pada 2003, beliau kerap pulang ke Pulau Pinang dan telah meluluskan serta melancarkan beberapa cadangan projek oleh kerajaan negeri, antaranya Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Transit Aliran Ringan (LRT) dari Georgetown ke Lapangan Terbang Antrabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pembangunan bandar baharu Bandar Cassia di Batu Kawan dan sistem transit bas Pulau Pinang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPP negeri M.Velliathum yang mengenali Pak Lah sejak kecil, menyifatkannya Allahyarham sebagai seorang tokoh yang sentiasa tenang, merendah diri dan mudah didekati.
Beliau berkata apabila menubuhkan Parti PPP di Kepala Batas pada 2001, hubungannya dengan Tun Abdullah menjadi lebih rapat, dengan sering berpeluang untuk bertemu dan berbincang mengenai pelbagai isu rakyat, khususnya masyarakat di kawasan itu.
“Sebagai Ahli Parlimen Kapala Batas, beliau sentiasa menyokong usaha saya dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat India terutamanya di kawasan Kepala Batas, Allahyarham tidak pernah lokek memberi dorongan, idea dan sokongan, biarpun beliau memegang jawatan tertinggi dalam negara.
“Walaupun saya bertemu beliau di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya atau di kampung halaman kami sendiri, keperibadian beliau tidak pernah berubah sentiasa rendah hati, penuh budi pekerti dan menyantuni semua orang dengan kasih sayang,” katanya yang juga Pengerusi Bahagian Kepala Batas.
Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan pula menyifatkan Pak Lah sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati dan sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Beliau berkata pembangunan di Kepala Batas merupakan antara bukti sumbangan besar Pak Lah ketika menjadi Perdana Menteri, yang dinikmati oleh rakyat hingga ke hari ini.
Tun Abdullah, 85 yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi, selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang ini.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008, menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial