MELAKA, 10 April (Bernama) -- Memasuki tahun keenam pelaksanaan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa maritim, Op NAGA mencatat kejayaan signifikan apabila merekodkan 619 tangkapan selain lucut hak, denda dan hasil lelongan berjumlah RM141.79 juta.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata nilai berkenaan dicatatkan sepanjang operasi bermula April 2019 hingga Disember lepas.
“Nilai keseluruhan tangkapan diharapkan dapat memberikan pulangan pelaburan (RoI) sepanjang pelaksanaan Op NAGA ini kepada kerajaan.
“Jumlah itu bukan sekadar angka, ia adalah pulangan besar terhadap pelaburan kerajaan dalam keselamatan maritim melibatkan sumber negara, pendapatan nelayan tempatan dan maruah perairan kita sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025 di sini hari ini.
Turut hadir Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Markas Tentera Laut Laksamana Muda Datuk Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin, Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, Timbalan Pengarah Kastam Mohd Nasir Mustapha dan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman ACP Noor Azman Jamal.
Dalam kenyataan sama, Mohd Zawawi berkata kedaulatan perairan negara terus dipertahankan tanpa kompromi apabila Op NAGA memasuki fasa baharu dengan penyelarasan taktikal lebih agresif dan bersepadu bagi membanteras pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) ke dalam Zon Maritim Malaysia.
Beliau berkata Op NAGA bukan sekadar operasi biasa malah operasi bersepadu pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa dalam menangkis ancaman pencerobohan laut khususnya di Laut China Selatan oleh vesel penangkapan ikan asing yang mengancam kedaulatan, keselamatan dan sumber ekonomi negara.
Menurut beliau, Op NAGA juga untuk membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) kerana ia bukan sahaja merugikan industri perikanan tempatan negara malah menjejaskan ekosistem maritim negara selain pencabulan kepada sempadan maritim negara.
“Kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun agensi sokongan amat perlu dalam usaha mempertingkatkan pengawasan dan tindakan proaktif dalam membanteras aktiviti jenayah ini di perairan negara.
“Kita bukan hanya menangkap penceroboh, kita juga ingin menghantar mesej jelas bahawa perairan Malaysia bukan untuk diceroboh sesuka hati,” katanya.
Op NAGA menyaksikan penglibatan besar-besaran 14 pasukan operasi dan agensi sokongan melibatkan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Taman-taman Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mesyuarat kali ini turut membincangkan pemerkasaan aset strategik, pelaksanaan operasi bersepadu lebih efisien, pengukuhan risikan serta pendekatan jangka panjang yang mampu melonjakkan keberkesanan penguatkuasaan maritim negara.
Maritim Malaysia akan memastikan tiada sebarang anasir asing yang cuba menggugat perairan negara dengan memperkasakan rondaan di sekitar perairan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial