WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU LAGU NEGARAKU: PEMPENGARUH POLITIK AKAN DIBEBAS DENGAN JAMINAN POLIS

10/04/2025 11:55 PM

IPOH, 10 April (Bernama) -- Pempengaruh politik yang ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan lagu 'Negaraku' dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan di sebuah sekolah di Teluk Intan, akan dibebaskan dengan jaminan polis esok.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata wanita berusia 40-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di pekarangan IPD Petaling Jaya, Selangor kira-kira 12 tengah hari tadi.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok untuk arahan dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Bakri dilaporkan berkata hasil siasatan awal mendapati video tular itu dirakam pada 6 Jun 2024 semasa majlis pelancaran Kelab Tarian Naga di sekolah terbabit.

Lagu dinyanyikan kanak-kanak itu, katanya bukan lagu kebangsaan sebaliknya adalah lagu kebesaran negeri Perak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan