WILAYAH - SABAH > BERITA

TIADA SEBARANG CAMPUR TANGAN KERAJAAN NEGERI DALAM SIASATAN KES RASUAH ADUN SABAH - SPRM

10/04/2025 05:50 PM

KOTA KINABALU, 10 April (Bernama) -- Tidak ada sebarang unsur campur tangan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atau kerajaan negeri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil kenyataan Hajiji sebanyak dua kali dalam siasatan tersebut dan Ketua Menteri itu memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

“Setakat ini semua kenyataan telah diambil termasuk daripada ADUN terbabit.. ada lagi tinggal kenyataan seorang individu yang terlibat dalam rakaman video kes berkenaan yang perlu kita dapatkan penjelasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar.

Tahun lepas sebuah portal melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN negeri itu didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Azam berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk memanggil individu itu untuk diambil keterangan, serta mendapatkan dokumen dikehendaki bagi siasatan kes tersebut, dan lapan ADUN Sabah terlibat turut dipanggil.

“Lapan ADUN itu dipanggil bagi memberi penjelasan, video itu dimainkan di depan ADUN ini untuk perjelaskan sendiri apa yang sebenarnya berlaku. Sebab itu saya gesa kepada semua jangan awal-awal buat kesimpulan dahulu dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Makmal Forensik SPRM masih menjalankan analisis terhadap 10 video terbaharu melibatkan kes tersebut dan beliau telah mengarahkan supaya analisis itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Analisis lapan video sebelum ini mendapati ada unsur-unsur penambahbaikan, suntingan dan sebagainya. Ia tiada kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan, tidak boleh diterima dalam mahkamah. Video sekarang masih dalam penelitian.

“Video baharu ini lebih panjang perlu dilihat jika ada suntingan, break in frame, doctoring, super impose, audio juga diteliti. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan sementara menunggu hasil penelitian ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan