TINTA MINDA

PELUANG SELUAS LAUTAN, WANITA MENONGKAH ARUS, MENERAJUI MASA DEPAN INDUSTRI MARITIM

19/05/2025 12:17 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen dan Cdr Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan

Industri maritim merupakan nadi kepada ekonomi global, menyumbang kepada lebih 80% perdagangan dunia.

Industri ini merangkumi beberapa sektor yang telah memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti pelabuhan dan perkapalan, pelancongan marin dan perikanan.

Peredaran arus pemodenan dunia telah menyaksikan tenaga kerja dalam industri maritim tidak hanya tertakluk kepada golongan lelaki sahaja. Industri maritim hari ini telah membuka pintu kepada wanita untuk mencorakkan arah masa depan industri ini.

Di Malaysia, tanda-tanda perubahan ini semakin jelas di mana wanita dalam industri maritim negara kini berperanan lebih aktif terutamanya sebagai pelaut, jurutera marin, pensyarah, penyelidik, pegawai dasar, peguam maritim, dan pengurus pelabuhan.

Hari Wanita Maritim Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun dan tema bagi tahun ini adalah “Peluang Seluas Lautan Buat Wanita”.

Jika diamati, ternyata ianya bukan hanya sekadar slogan, tetapi lebih menjurus kepada komitmen terhadap perubahan struktur yang memberi pengiktirafan kepada kepimpinan dan sumbangan wanita dalam bidang yang selama ini didominasi lelaki.

Bagi menghapuskan persepsi bahawa pekerjaan di laut adalah terlalu berat atau tidak sesuai untuk wanita, beberapa pendekatan perlu diambil contohnya pelaksanaan dasar kerja fleksibel, tempat kerja dan fasiliti atas kapal yang mesra wanita serta pengiktirafan terhadap potensi kepimpinan wanita bagi menjamin penyertaan yang lestari.

Lautan Buat Wanita

Wanita maritim perlu membuktikan bahawa mereka mampu bukan sahaja untuk menyesuaikan diri, tetapi untuk mencipta impak besar dalam persekitaran yang kompetitif dan mencabar.

Peluang yang ada perlu dimanfaatkan agar wanita juga boleh menjadi pelopor dalam industri maritim yang kini mula beralih ke arah teknologi hijau, pendigitalan pelabuhan, dan inovasi rantaian bekalan,

Usaha memperkasa wanita maritim di Malaysia telah disokong oleh kerajaan dan juga organisasi seperti Persatuan Wanita dalam sektor Perkapalan dan Perdagangan Antarabangsa (WISTA).

WISTA Malaysia yang secara aktif menyediakan platform jaringan profesional, bimbingan kerjaya serta menyediakan latihan pembangunan kemahiran.

Inisiatif ini selari dengan komitmen global seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang menekankan kepentingan kesamarataan jantina dalam semua sector dalam industri maritim.

Pendidikan turut menjadi pemacu utama dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja professional wanita dalam industri ini. Contohnya, Akademi Laut Malaysia (ALAM) telah mencatat peningkatan 30% dalan pendaftaran pelajar wanita dalam tempoh lima tahun lalu. Ini memnunjukkan satu pencapaian yang baik serta mencerminkan keberkesanan melalui pendekatan inklusif.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga memainkan peranan penting melalui penawaran program ijazah berkaitan maritim.

UMT telah melahirkan graduan wanita berkemahiran tinggi dan bersedia menyumbang secara langsung kepada sektor ini, sama ada dalam logistik pelabuhan, dasar maritim mahupun perdagangan antarabangsa.

Demi membina sebuah industri yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ekonomi dan teknikal, tetapi juga inklusif dan adil untuk semua, perubahan ini perlu bermula dari peringkat akar umbi.

Masa Depan Industri Maritim

Adalah amat penting untuk mewujudkan naratif baru bahawa wanita bukan hanya mampu bertahan dalam industri ini, tetapi juga mampu memimpin.

Adalah amat penting untuk semua pemegang taruh untuk berganding bahu bersama mencorakkan masa depan industri maritim dengan menawarkan peluang seluas lautan untuk penyertaan wanita.

Hak kesamarataan ini amat penting untuk menyokong penyertaan aktif wanita dalam sektor maritim

Semoga sambutan Hari Wanita Maritim Antarabangsa tahun ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak pembaharuan sebagai pencetus kepada kelahiran generasi baharu wanita maritim yang lebih berdaya tahan, inovatif dan produktif.

Untuk semua wanita hebat di luar sana, jangan jadikan cabaran sepadai sempadan, teruslah bercita-cita tinggi dan berani membuat perubahan.

Anda adalah nadi kepada transformasi industri maritim dan kini peluang telah terbuka seluas luasnya.

Dengan usaha berterusan dan semangat juang yang tinggi, teruslah menongkah arus stereotaip demi masa depan yang lebih lestari.

--BERNAMA

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim dan Ahli Jawatankuasa WISTA Malaysia manakala Cdr Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan (Bersara) ialah bekas pegawai di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)