KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata isu pemain berstatus warisan dalam skuad bola sepak kebangsaan tidak wajar diperbesarkan.
Beliau berkata pemain berdarah warisan juga merupakan individu yang memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia, sekali gus layak buat mereka menyarung jersi kebangsaan.
“Jadi kalau pemain warisan boleh memperkasakan permainan pasukan kebangsaan, saya rasa tak ada salah kerana mereka juga rakyat Malaysia.
“Kita mesti beri sokongan kepada mereka dan ini juga antara perjuangan kita di Parlimen baru-baru ini dalam meminda Perlembagaan Persekutuan supaya wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara boleh mewariskan kerakyatan kepada anak mereka,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) musim baharu di sini hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima kritikan selepas didakwa terlalu bergantung kepada pemain warisan serta kepakaran luar negara dalam mencorakkan skuad Harimau Malaya.
Hannah berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah memastikan pemain terlibat dapat merasakan kehadiran peminat bola sepak tanah air yang sentiasa akan berada di belakang mereka memberikan sokongan.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap kritikan berterusan yang dilemparkan terhadap usaha bagi memajukan bola sepak negara, termasuk penglibatan pemain warisan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial