SUKAN > BERITA

PRESTASI SKUAD SEPAK TAKRAW MEMBANGGAKAN, BERPOTENSI JADI JUARA - HANNAH

19/05/2025 03:48 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini menyifatkan prestasi skuad sepak takraw negara sebagai membanggakan dan berpotensi merampas gelaran juara acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia akan datang.

Hannah menyuarakan keyakinan itu berdasarkan pemerhatian beliau sendiri ketika hadir ke Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam, bagi menyaksikan kejohanan berkenaan.

“Saya rasa ini pencapaian yang membanggakan. Kalau kita lihat permainan mereka juga, walaupun mereka kalah dua set tetapi pada set pertama, sangat-sangat dekat.

“Jadi saya tahu pasukan kita sudah melakukan yang terbaik. Bukan sahaja pasukan lelaki, tetapi pasukan wanita juga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Hannah turut memuji usaha Persatuan Sepak Takraw (PSM) yang berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat bagi mencungkil muka baharu dalam sukan itu.

“Saya kira dengan lebih banyak lagi pendedahan seperti ini, bila kita jadi hos, ramai lagi pemain kita boleh mengikuti. Saya percaya satu hari nanti, kita boleh menang piala itu,” katanya

Pada aksi final Piala Asia 2025, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara bagi acara regu berpasukan selepas tewas 0-2 kepada Thailand.

Regu pertama negara Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) kalah 11-15 pada set pertama, tetapi bangkit 15-12 sebelum kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

Regu kedua yang dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin pula sekadar menang set pertama 15-13, sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

Ditanya sama ada KBS berhasrat membina stadium khusus untuk sepak takraw, Hannah berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang cadangan, sebaliknya berkata fasiliti sedia ada di Stadium Jalan Raja Muda (SJRM), Kampung Baru sudah memadai untuk dimanfaatkan pasukan negara.

“Tempat ini diuruskan oleh PSM dan setakat ini mereka kata tempat itu memadai untuk akademi mereka. Mereka gembira kerana lokasi ini, berdekatan dengan Stadium Titiwangsa dan sesuai untuk mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SJRM dikendalikan sepenuhnya oleh PSM sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia, sekali gus menjadi hab pembangunan sukan tradisi itu di peringkat akar umbi dan elit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan