Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Masalah kewangan, kemerosotan minat penyokong, dominasi satu pasukan serta ancaman penarikan diri kelab bukan sekadar cabaran biasa, sebaliknya menjadi petunjuk kepada isu asas yang lebih mendalam sedang melanda struktur Liga Malaysia (Liga-M).
Perkara ini perlu dilihat sebagai kesan langsung daripada kelemahan tadbir urus serta sistem pengurusan yang masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keperluan bola sepak profesional moden sekali gus menghalang Liga-M daripada berkembang secara mampan dan kompetitif di peringkat domestik mahupun serantau.
Badai yang melanda satu demi satu kelab tradisi bukan hanya berkaitan dengan masalah kewangan atau ketidakhadiran penonton di stadium, tetapi turut menggambarkan kelemahan sistem pelesenan, ketelusan pengurusan hingga visi pembangunan semakin kabur dan tidak jelas hala tujunya.
Tatkala kesalahan sering dilontarkan kepada pihak pengurusan pasukan kerana gagal mengurus kelab secara berhemah, di manakah peranan badan penganjur liga dan pihak berautoriti dalam mengawal selia serta memacu kemajuan sebenar Liga-M?
Dalam siri kedua laporan khas ini, Bernama mengupas isu sistemik melanda Liga-M termasuk struktur tadbir urus, proses penswastaan dan pelesenan, ketiadaan pelan pembangunan akar umbi serta ketidakseimbangan dalam pengurusan kelab yang menyebabkan liga terus menghadapi kesukaran untuk mencapai kemajuan.
PENSWASTAAN DAN PELESENAN: ANTARA DASAR DAN REALITI
Kebanyakan pemerhati industri percaya situasi semasa yang melanda Liga-M sebahagian besarnya berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan penswastaan dan sistem pelesenan.
Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata proses penswastaan dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas tidak dibina mengikut asas kelestarian kewangan dan tadbir urus korporat yang kukuh.
Beliau berkata antara isu utama ialah proses pelesenan terlalu memberi fokus kepada kelayakan atas kertas, bukan kepada penilaian sebenar terhadap kekuatan kewangan, operasi dan strategi kelab.
Tambah beliau, ketiadaan sistem pemantauan dan audit berkala juga menyaksikan episod kelab mendapat lesen pada awal musim namun menjelang pertengahan musim menghadapi isu kewangan.
“Isu lain ialah kurangnya kejelasan model perniagaan kelab. Kebanyakannya masih bergantung kepada dana kerajaan negeri atau ‘individu berpengaruh’, bukannya penjanaan hasil lestari seperti komersial, hak siaran atau akademi.
“Kesannya, beberapa pasukan menarik diri atau gagal memenuhi komitmen kewangan. Ini bukan hanya kegagalan kelab tapi juga kelemahan struktur liga itu sendiri tidak menyediakan sistem sokongan atau pemulihan krisis yang baik,” katanya.
Berkongsi pandangan sama ialah penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli yang berkata lesen sepatutnya diberikan berdasarkan keupayaan sebenar sebuah kelab dari aspek kewangan, struktur tadbir urus dan pelan pembangunan.
“Tetapi yang berlaku sekarang, ia kelihatan seperti formaliti semata-mata," katanya.
Pekan menyarankan agar audit bebas tahunan diwajibkan terhadap semua pasukan dan keputusan audit itu mesti diumumkan secara terbuka bagi meningkatkan ketelusan serta keyakinan pemegang taruh.
KETIADAAN PELAN PEMBANGUNAN JANGKA PANJANG
Di sebalik usaha melahirkan lebih banyak pemain berkualiti, liga domestik masih tidak memiliki pelan pembangunan akar umbi yang tersusun, malah saingan Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) musim depan terpaksa dimansuhkan kerana pertandingan peringkat bawah 23 tahun itu menelan belanja besar bagi kelab.
Kebanyakan kelab Liga-M juga tidak memiliki pelan pembangunan pemain muda jangka panjang dan hanya beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC yang konsisten mengurus pasukan akar umbi secara menyeluruh.
Program pembangunan belia seperti Piala Presiden dan Piala Belia kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula masih belum cukup berdaya saing manakala kerjasama kelab dengan sekolah atau akademi tempatan juga sangat terhad.
“Secara jujur kebanyakan kelab masih lemah dari sudut pelan pembangunan pemain muda yang benar-benar strategik dan berskala jangka panjang...kebanyakan pasukan tidak mengintegrasikan pemain muda ke dalam skuad utama secara sistematik. Liga Simpanan atau Piala Presiden masih tidak cukup kompetitif dan kurang perhatian dari segi kemudahan dan kejurulatihan.
“Selain itu, kurangnya insentif kepada kelab yang memajukan pemain muda. Tidak ada ganjaran kompetitif jelas kepada kelab yang melahirkan pemain ke pasukan kebangsaan, atau menjual pemain ke luar negara,” kata Mohamad Nizam
Bekas Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC dari 2021 hingga 2023 itu berkata sistem pembangunan yang kukuh perlu disandarkan kepada model pelesenan dan pembangunan akar umbi seperti di Jepun, pelaksanaan peraturan pemain muda dalam kesebelasan utama seperti kuota homegrown, dan dana khusus untuk pembangunan akademi serta jurulatih belia.
KELEMAHAN STRUKTUR KORPORAT KELAB
Kebanyakan kelab di Malaysia masih diurus seperti ‘struktur organisasi persatuan bola sepak negeri yang usang’ meskipun mereka sepatutnya berfungsi sebagai entiti korporat profesional yang moden dan berdaya saing.
Hanya segelintir kelab seperti JDT, Selangor dan Terengganu mempunyai struktur pentadbiran moden dengan jabatan pemasaran, komunikasi dan kewangan yang mantap sementara majoriti pasukan lain masih bergantung kepada dana penaja utama tanpa strategi kelestarian jangka panjang.
Budaya bergantung semata-mata kepada penaja boleh mengakibatkan kelab mudah terjejas sekiranya penaja menarik diri di pertengahan musim pertandingan, seperti dilaporkan berlaku kepada beberapa pasukan dalam musim terdahulu.
Selain itu, ketiadaan data peminat bukan sekadar isu komunikasi, malah mampu menjejaskan keupayaan kelab untuk menjana pendapatan alternatif seperti jualan tiket bermusim, barangan rasmi dan peluang penajaan bersasar.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM Christopher Raj turut mempersoalkan sikap segelintir kelab yang mengharapkan kehadiran penyokong ke stadium tetapi pada masa sama gagal memberi tumpuan kepada aspek interaksi dan keterlibatan bersama peminat.
“Setiap kelab perlu menguruskan hubungan dengan penyokong mereka sendiri. Setiap kelab perlu kenal penyokong mereka. Setiap kelab perlu tahu pangkalan data penyokong mereka sendiri. Ini kelab tiada pangkalan data, kelab tak tahu penyokong datang dari mana, daerah mana. Jadi, macam mana kelab nak membina hubungan dengan penyokong?” katanya.
Data peminat meruapakan antara ciri penting dalam model kelab moden seperti diamalkan di Jepun, Korea Selatan dan Eropah dengan peminat menjadi nadi strategi pemasaran.
JADUAL DAN MUTU PENGADILAN: SATU LAGI ISU BESAR
Dalam pada itu, antara rungutan sering kedengaran ialah mengenai jadual perlawanan yang didakwa berat sebelah serta mutu pengadilan dipertikaikan.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan tahap persaingan atas padang, malah menimbulkan syak wasangka dalam kalangan penyokong yang sudah sedia skeptikal terhadap ketelusan pihak pengelola liga.
Jurulatih berpengalaman luas Irfan Bakti Abu Salim berkata ada pasukan menghadapi kesukaran disebabkan sela masa perlawanan terlalu lama hingga mampu menjejaskan momentum pemain.
“Boleh kata ibarat pasukan ‘menjalani latihan pramusim’ sebanyak empat kali dalam semusim,” kata Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 berusia 74 tahun itu.
Mutu pengadilan pula terus menjadi duri dalam daging apabila kesilapan asas terus berulang seperti membuat keputusan ofsaid yang mengelirukan, tidak konsisten dalam memberikan kad atau penalti serta kelewatan membuat keputusan kritikal.
Walaupun Liga Super sudah menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), pelaksanaannya masih dipersoalkan apabila beberapa insiden kontroversi terus berlaku walaupun selepas semakan dibuat sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketepatan dan konsistensi penggunaan teknologi itu.
“Kita kena akui kalau perkara ini berterusan dan tidak ditangani ia akan menjadi lebih sulit,” katanya.
MASA DEPAN: PERLU SET SEMULA SECARA MENYELURUH
Reformasi sebenar Liga-M memerlukan lebih daripada sekadar rombakan kosmetik.
Tanpa pelan tindakan konkrit dan iltizam politik serta profesional yang jitu, Liga-M mungkin terus kekal sebagai liga berprofil tinggi atas kertas tetapi kosong dari segi nilai sebenar.
“Ini memerlukan anjakan paradigma menyeluruh bukan sekadar rombakan liga, tetapi perubahan dalam budaya pengurusan sukan profesional,” kata Mohammad Nizam.
Selagi kelemahan asas ini tidak ditangani secara bersepadu tidak mustahil kemelut ini terus berulang, namun peluang untuk berubah sentiasa ada jika semua pihak bersedia duduk semeja dan berani melakukan perubahan untuk mengelakkan Liga-M ibarat bangunan tanpa asas kukuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial