SUKAN > BERITA

CABARAN LIGA-M: PASUKAN TARIK DIRI, SOKONGAN PEMINAT PUDAR DAN DOMINASI SEPIHAK

02/05/2025 10:37 AM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Liga Malaysia (Liga-M) suatu ketika dahulu digelar nadi bola sepak Asia Tenggara, tetapi hari ini gema itu semakin sayup, ditenggelami derita isu kewangan, minat penyokong yang suram, dominasi satu pasukan dan ancaman kelab yang menarik diri.

Situasi yang sedang berlaku kini ialah amaran bahawa sebuah sistem yang dibina atas harapan kini berderai satu demi satu akibat keretakan struktur yang tidak ditangani dengan tuntas.

Pasukan yang menarik diri bukan lagi anomali, tetapi petunjuk kepada realiti getir di sebalik pentas Liga-M yang sebelum ini sudah dicemari isu tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berbulan-bulan.

Baru-baru ini, Perak FC mengambil keputusan membubarkan pasukan dan menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan kerana berdepan kemelut kewangan selepas dilaporkan sudah membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.

Dalam tempoh kebelakangan ini, sekurang-kurangnya tiga lagi pasukan dengan pangkalan peminat yang besar, iaitu Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC turut dikatakan sedang mempertimbangkan langkah serupa ekoran masalah kewangan yang meruncing.

Setiap kelab memerlukan antara RM8 juta hingga RM15 juta setahun untuk menguruskan pasukan utama.

Adakah adil untuk meletakkan seluruh beban kemelut bola sepak negara pada bahu kelab, sedangkan punca sebenar mungkin jauh lebih dalam?

 

SUKAR DAPATKAN PULANGAN PELABURAN (ROI) 

 

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj berkata Perak contoh pasukan yang penuh dengan legasi, tetapi tetap terbeban dengan kos tinggi untuk beraksi dalam Liga Super yang tidak memberi pulangan pelaburan (ROI).

“Apabila tiada ROI untuk mana-mana syarikat yang melabur dalam liga bola sepak, mereka terpaksa memberi penjelasan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan mengenai keputusan untuk terus melabur dalam bola sepak negara atau negeri.

“Dalam kes ini, isu ini bukan hanya melibatkan pihak berkepentingan, tetapi juga melibatkan pemain, jurulatih, dan staf lain. Namun, yang paling terkesan ialah pemain. Kedua, saya rasa yang lebih penting daripada segalanya, kita perlukan pasukan yang berkualiti.

“Jika kita fokus kepada kuantiti, banyak isu dan cabaran akan timbul. Apa gunanya liga mempunyai 20 pasukan atau 16-18 pasukan, jika sembilan daripadanya menghadapi masalah kewangan?” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

DOMINASI SEPIHAK

 

Sementara itu, Liga-M kini dilihat bukan lagi pentas persaingan terbuka, tetapi medan yang dimonopoli sebuah pasukan yang mendominasi hampir semua trofi utama sedekad lepas, menyebabkan keputusan setiap musim terlalu mudah diramal sekali gus turut menjadi antara sebab minat peminat kian pudar.

Situasi ini berbeza dengan liga-liga di negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Eropah yang sentiasa berusaha mengekalkan keseimbangan daya saing.

Christopher berkata kemerosotan kehadiran peminat ke stadium tidak boleh dilihat hanya dari sudut dominasi pasukan tertentu, sebaliknya wajar diteliti daripada pelbagai sudut khususnya faktor ekonomi yang membelenggu penyokong.

“Kekurangan kehadiran penonton mungkin berpunca daripada kebosanan terhadap bola sepak tempatan, skrip pertandingan yang mudah dijangka atau minat yang semakin pudar. Namun, faktor ekonomi juga tidak boleh diketepikan.

“Sebagai contoh, jika seseorang bergaji RM4,000 dan bawa tiga ahli keluarganya ke stadium, belanja sekitar RM200 untuk setiap perlawanan, bersamaan RM800 sebulan jika ada empat perlawanan, ia beban yang besar hanya untuk menonton bola sepak.

“Akibatnya, penyokong mula membuat pilihan. Mereka hanya hadir ke perlawanan tertentu, khususnya perlawanan tumpuan, seperti Selangor menentang JDT (Johor Darul Ta’zim) atau Terengganu menentang JDT. Mereka tidak lagi hadir ke setiap perlawanan,” katanya.

 

REFORMASI LIGA-M

 

Bagi penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli, kemelut yang melanda Liga-M tidak wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Pekan berkata masalah itu antaranya turut berkait rapat dengan keperluan penambahbaikan dalaman, termasuk aspek pengurusan liga dan peraturan pertandingan yang wajar diperkukuh bagi mengembalikan keyakinan semua pihak.

“Kita harap MFL (Liga Bolasepak Malaysia) membuat penilaian menyeluruh dan cari kelemahan mereka dari pelbagai aspek. Semak semula peraturan pertandingan khususnya jumlah kuota pemain import yang terlalu banyak.

“Kaji semula rungutan pasukan dan kelab serta penyokong yang mendakwa tentang ketidakadilan jadual perlawanan yang disusun dan diubah yang dikatakan berpihak kepada pasukan-pasukan tertentu sehingga membebankan mereka,” katanya.

Selain itu, Pekan berkata mutu pengadilan turut menjadi antara isu utama yang perlu dibaiki segera bagi mengelak persepsi negatif dalam kalangan peminat terhadap kredibiliti pengadil, selain mengingatkan MFL supaya mengetatkan pemberian lesen kepada kelab yang ingin bertanding.

Status jumlah penyertaan pasukan dalam saingan Liga Super musim hadapan hanya akan diketahui selepas 10 Mei ini, iaitu tarikh akhir yang telah dilanjutkan bagi melengkapkan dokumentasi permohonan Lesen Kebangsaan.

Namun, tanpa reformasi struktur dan pendekatan holistik merangkumi aspek tadbir urus, kestabilan kewangan serta keseimbangan daya saing, bola sepak Malaysia bukan sahaja berisiko kehilangan lebih banyak kelab, malah berdepan ancaman kehilangan kepercayaan generasi penyokong baharu.

Daripada masalah kewangan, ketidaktelusan tadbir urus sehingga kekaburan hala tuju pembangunan, semua ini menjadikan Liga-M ibarat bangunan tanpa asas kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan