KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Semangat juang yang tinggi menjadi kunci kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2024/2025 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Bintang sensasi skuad Harimau Selatan Arif Aiman Mohd Hanapi mengakui Sri Pahang memberikan saingan hebat namun JDT tidak mudah tunduk pada tekanan.
Beliau berkata ketinggalan satu gol juga tidak mematahkan semangat pasukan yang sememangnya mahu memenangi kejuaraan berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut.
“Sri Pahang memberikan tentangan yang sengit tapi kami tetap bermain bersungguh-sungguh walaupun ketinggalan 1-0. Kami percaya gol akan datang dan bukan saya saja, satu pasukan bekerja keras untuk menyamakan kedudukan dan gol kedua itu (pula) sebab kami ingin memenangi perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas final di sini, malam tadi.
Final berintensiti tinggi itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas dua kad merah dilayangkan pengadil, Razlan Joffri Ali masing-masing kepada penyerang Sri Pahang Sergio Aguero dan pemain pertahanan JDT Park Jun Heong.
Sri Pahang bimbingan Fandi Ahmad terlebih dahulu mengejutkan JDT menerusi jaringan pendahulu oleh pemain sayap T. Saravanan pada minit ke-14.
Berbekalkan pengalaman JDT bangkit menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti penyerang prolifik Bergson Da Silva pada minit ke-54 sebelum Arif Aiman meledak gol kemenangan pada minit ke-74.
Kemenangan itu melengkapkan kejayaan triple treble JDT sekali gus menjadi satu-satunya pasukan melakukan perkara itu sejak pencapaian double treble Kedah pada musim 2007 dan 2008.
Sebagai rekod, triple treble merujuk kejayaan memenangi tiga kejuaraan utama Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, dalam satu musim.
Sementara itu, Arif Aiman berazam untuk terus mengembangkan kariernya ke tahap tertinggi.
“Pada usia sekarang, saya hanya perlu bekerja keras. Saya perlu lupakan tentang kehidupan lain. Saya hanya fokus untuk bina kerjaya dan teruskan untuk menjadi lebih baik. Itu saja,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Arif Aiman mencipta sejarah apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan buat kali keempat berturut-turut, Rabu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial