SUKAN > BERITA

REGATTA ANTARABANGSA 2.0 MERIAHKAN LISC 2025

25/04/2025 08:44 PM

LABUAN, 25 April (Bernama) -- Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025 terus mencipta momentum apabila perlumbaan dinanti-nantikan, Regatta Antarabangsa 2.0, secara rasmi membuka tirai hari ini, menyaksikan penyertaan seramai 55 pelayar kompetitif di perairan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Perbadanan Labuan, Mahathir Abd Hamid berkata perlumbaan selama tiga hari itu yang berlangsung sehingga Ahad ini merupakan antara acara kemuncak LISC yang berlangsung selama enam hari, dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM29,080.

"Perlumbaan ini dipertandingkan menerusi empat divisyen yang merangkumi 10 kategori kompetitif, termasuk kategori terbuka luncur angin yang sentiasa menjadi tumpuan," katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan peserta di pesisir pantai Kompleks Sukan Laut berkenaan.

Beliau berkata acara itu bukan sahaja mengetengahkan budaya sukan maritim Labuan, malah mencerminkan komitmen dalam memperkasakan sektor pelancongan menerusi penganjuran aktiviti berimpak tinggi.

“LISC tahun ini menerima penyertaan dari Brunei, Putrajaya, Sabah, Sarawak serta pelayar tempatan dari Labuan sendiri,” katanya.

Mahathir berkata LISC yang kini memasuki edisi ke-27, terus berkembang sebagai antara festival sukan laut utama di Malaysia.

Selain regatta, festival tahunan itu turut menampilkan pelbagai pertandingan termasuk memancing laut dalam peringkat antarabangsa, kayak, silat pantai dan acara berasaskan laut lain, yang menarik ribuan pengunjung serta peserta dari seluruh negara.

“Regatta ini terkenal sebagai medan menguji ketahanan, kemahiran dan koordinasi pelayar dalam menempuh cabaran angin dan arus pantai yang sukar dijangka.

“Peserta terdiri daripada atlet berpengalaman termasuk atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 serta pelayar muda, yang membawakan gabungan pengalaman dan semangat baharu dalam pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya perniagaan tempatan seperti hotel, inap desa dan premis makanan turut menikmati lonjakan pelanggan sepanjang penganjuran festival itu serta membuktikan limpahan ekonomi daripada sektor pelancongan sukan.

“Perbadanan Labuan dengan kerjasama pelbagai persatuan sukan dan agensi berkaitan menganjurkan LISC 2025 sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Labuan sebagai hab sukan air serantau serta memelihara warisan maritimnya.

“Perlumbaan kemuncak dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung hujung minggu ini, termasuk keluarga dan penyokong yang datang bagi memberi sorakan serta menikmati kemeriahan pesta tepi pantai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan