BINTULU, 22 April (Bernama) -- Maraton Bintulu 2025 yang akan berlangsung 3 Ogos ini bakal menjadi antara acara sukan utama di negara ini dengan penganjur menyasarkan jumlah penyertaan tertinggi setakat ini.
Menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000, acara yang memasuki edisi ketiga tahun ini mendapat perhatian pelari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara maraton utama di Asia Tenggara.
Acara anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu menarik penyertaan 3,535 pelari ketika dimulakan pada 2023 sebelum sebelum melonjak kepada 5,800 peserta dari 19 negara tahun lepas.
“Menjadi cita-cita kami untuk menjadikan Maraton Bintulu sebagai antara perlumbaan paling menarik, bukan sahaja di Malaysia malah di pentas antarabangsa,” kata Pengarah Perlumbaan Maraton Bintulu 2025 Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya yakin mampu mencapai hasrat itu, sekali gus mengukuhkan status Bintulu sebagai hab acara sukan bertaraf antarabangsa, memandangkan reputasi maraton ini yang semakin meningkat telah menarik penyertaan pelari ternama, khususnya dari benua Afrika.
Awangku Mohd Sharifuddin berkata atlet Kenya telah mendominasi pertandingan itu sebelum ini dengan Geoffrey Birgen memenangi edisi sulung menerusi catatan masa 2 jam 18 minit dan 5 saat manakala Denis Mugendi Kiura muncul juara tahun lepas dengan masa 2:23:07s.
Pelari maraton utama negara seperti Muhaizar Mohamed, Poo Vasanthan Subramaniam, Ahmad Luth Hamizan dan Haziq Hamzah turut mengambil bahagian sebelum ini yang menambah keterujaan peminat tempatan untuk terus memberi sokongan.
Maraton Bintulu 2025 akan menampilkan kategori maraton penuh 42.195 kilometer (km), separuh maraton (21.1km), larian jarak pertengahan 10 km dan larian santai sejauh 6 km. Hadiah akan ditawarkan dalam kategori Terbuka dan Veteran, dengan pemenang Terbuka menerima RM7,000 setiap seorang, manakala pemenang Veteran membawa pulang RM3,000.
Bagi menggalakkan kecemerlangan tempatan, bonus tambahan sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada pelari lelaki dan wanita Malaysia terpantas dalam kategori Terbuka, dengan syarat mereka turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.
Hadiah wang tunai akan diberikan kepada 10 peserta terbaik bagi setiap kategori, menjadikan acara ini antara kejohanan maraton paling lumayan di rantau ini.
Mereka yang berminat boleh melayari https://www.heyjom.com/event/Bintulu-Marathon-2025 atau https://cps4.me/bintulu-marathon-2025 untuk maklumat lanjut atau pendaftaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial