KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pendaftaran penyertaan bagi acara Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (KLSCM) bagi edisi ke-17 akan dibuka bermula esok.
Acara tahunan itu akan berlangsung pada 4 dan 5 Okt ini.
Pengarah Projek KLSCM 2025, Rainer Biemans, dalam kenyataan hari ini berkata pendaftaran akan dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu pendaftaran keutamaan dari 17 hingga 21 April, diikuti pendaftaran umum bermula 22 April hingga 31 Julai atau sehingga semua slot larian dipenuhi, mana-mana yang terdahulu.
Peserta yang telah menamatkan KLSCM pada 2024 atau 2023 dengan catatan masa tertentu layak untuk pendaftaran keutamaan.
Ini termasuk kategori maraton penuh (lelaki bawah 4 jam, wanita bawah 5 jam); separuh maraton (lelaki bawah 2 jam, wanita bawah 2 jam 15 minit); dan 10 kilometer (lelaki bawah 1 jam, wanita bawah 1 jam 15 minit).
Sementara itu, Biemans turut memaklumkan lokasi permulaan dan penamat acara tahun ini akan dipindahkan buat sementara waktu dari lokasi ikonik Dataran Merdeka berikutan kerja-kerja penaiktarafan dan penyelenggaraan yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.
Sebaliknya, maraton akan bermula di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur (lokasi tepat akan diumumkan kelak) dan berakhir di Stadium Merdeka yang bersejarah.
Biemans turut melahirkan rasa gembira apabila Standard Chartered Malaysia memperbaharui penajaan utama bagi acara larian jarak jauh terulung negara itu untuk tempoh empat tahun lagi sehingga 2028.
“Nilai dan komitmen yang dikongsi bersama serta pertumbuhan budaya larian di negara ini telah memperkukuh hubungan kami dengan banyak komuniti larian. Kami teruja untuk membawa acara larian utama Malaysia ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial