KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pelari pecut wanita negara Shereen Samson Vallabouy menjadi pilihan Olahraga Malaysia (MA) untuk beraksi menerusi slot wild card pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun pada 13 hingga 21 Sept ini.
Presiden MA Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan berita itu berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan pemegang rekod 400 meter (m) wanita kebangsaan berkenaan.
“Yang penting sekarang ini berdasarkan prestasi dan lain-lain lagi, Shereen dipilih (ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis MA di sini hari ini.
Baru-baru ini, atlet berpangkalan di Amerika Syarikat itu meraih gelaran pertamanya tahun ini apabila mengungguli acara 400m wanita pada Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida.
Atlet berusia 26 tahun yang mewakili pasukan Life Speed itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 53.72 saat (s) untuk merangkul emas.
Pingat perak dimenangi Gabby Johnson daripada pasukan North Florida dengan catatan masa 55.17s, manakala gangsa diraih Nevaeh Lorjuste mewakili pasukan Rowan (56.91s).
Sementara itu, Shahidan berkata MA merancang untuk membariskan 37 atlet dan tujuh jurulatih bagi Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan 27 hingga 31 Mei sebagai persiapan ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada 7 hingga 19 Dis.
Shahidan berkata mereka juga menetapkan atlet negara akan menyertai enam kejohanan tempatan menjelang temasya dwitahunan itu.
“Kami akan membuat rayuan kepada Majlis Sukan Negara supaya 104 atlet akan menyertai program latihan kendalian agensi berkenaan.
“Ini kerana MSN ketika ini hanya memberi lampu hijau kepada 85 atlet untuk menyertai program mereka,” katanya.
Pengarah Teknikal Olahraga Robert Ballard berkata biarpun Shereen menjadi pilihan MA, peluang masih terbuka kepada mana-mana atlet untuk layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 memandangkan proses kelayakan masih berlangsung ketika ini.
Sekiranya mahu layak secara merit ke Tokyo, Shereen perlu melepasi had kelayakan iaitu 11.07s bagi acara 100m, 22.57s (200m) dan 50.75s (400m).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial