SUKAN > BERITA

KINOSHI PUJI SEMANGAT JUANG PEMAIN SELANGOR FC

06/04/2025 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC Katushito Kinoshi memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya ketika menang 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Katushito berkata pemain-pemain Selangor mempamerkan semangat juang yang tinggi, selain tidak mengalah hingga ke saat akhir untuk menjaringkan gol, sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad Gergasi Merah.

“Perlawanan hari ini (semalam) sangat penting bagi saya, dan saya berpuas hati kerana tanggungjawab mereka sebagai seorang pemain profesional dan pemain pasukan Selangor.

“Mereka berjuang sebagai sebuah pasukan dan memperoleh tiga mata. Saya sangat bangga untuk melihat aksi bola sepak seperti ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Pada aksi berkenaan, pemain sayap Alvin Fortes menjadi wira skuad Gergasi Merah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit akhir perlawanan.

Pemain berusia 30 tahun itu berjaya menyambut hantaran lambung Faisal Halim sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Terengganu Rahadiazli Rahalim, sekali gus memastikan kemenangan Selangor.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya apabila gagal menyempurnakan peluang yang dicipta untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemain-pemain sudah memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan, sambil berharap mereka akan bangkit untuk mengutip tiga mata penuh bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu depan.

“Kesilapan sama berulang pada pasukan kami apabila pemain tidak mengambil peluang dan dihukum pada minit akhir. Memang begitu kecewa.

“Apa-apapun pemain sudah beri aksi terbaik kerana seperti kita tahu Selangor adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Jadi selepas ini kita akan fokus pada dua perlawanan berikutnya menentang PDRM dan Kedah Darul Aman FC (20 April),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan