POLITIK > BERITA

FIKIR SECARA MATANG, ELAK TINDAKAN IKUT EMOSI - DR ZALIHA

16/05/2025 04:21 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengingatkan kepimpinan parti supaya berfikir secara rasional dan tidak bertindak terburu-buru terutama ketika proses pemilihan masih berlangsung dan Kongres Nasional semakin hampir.

Beliau berkata tindakan berasaskan emosi termasuk ugutan untuk meletakkan jawatan hanya akan merencatkan proses penyatuan parti dan menjejaskan kelancaran menjelang Kongres Nasional PKR yang dijadualkan bermula 21 Mei ini.

“Fikir dahulu sebelum buat apa-apa tindakan. Paling penting selepas pemilihan ini adalah untuk kita satukan balik saf, rapatkan saf demi kekuatan parti dan terus berjuang dalam agenda membangunkan negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Dr Zaliha mengulas desas-desus beberapa ahli jawatankuasa cabang mahu meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan Ketua Cabang yang baharu dipilih. Beliau menekankan keperluan untuk mengekalkan semangat kekeluargaan dan berjiwa besar dalam menghadapi perbezaan pendapat. 

“Kita semua bertanding dalam semangat keluarga, adik-beradik...(bukan untuk berpecah) tetapi supaya boleh terus bergerak bersama,” katanya.

Mengenai pertembungan antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Dr Zaliha menyifatkannya sebagai manifestasi budaya demokrasi matang dalam parti itu.

“Tiada masalah siapa pun nak bertanding. Sama ada Rafizi, Nurul Izzah atau mana-mana tokoh lain yang menawarkan diri untuk memimpin parti pada sesi akan datang. Saya fikir mereka masing-masing ada bakat dan pencapaian tersendiri.

“Perkara ini sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan parti dan dalam usaha kita memenangi pilihan raya akan datang. Mereka ini boleh memperkukuh parti termasuk dari segi hala tuju,” katanya.

Beliau berkata pertandingan terbuka adalah sebahagian daripada adat dan budaya PKR yang matang, selagi ia berlangsung secara beretika dan tertumpu kepada kekuatan calon bukan perpecahan dalaman.

Kongres Nasional PKR 2025 dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei, dengan hari pengundian pada 23 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan