POLITIK > BERITA

KEMPEN PRK AYER KUNING: POLIS TERIMA TUJUH LAPORAN TERMASUK DUA KES KHIANAT

22/04/2025 04:03 PM

TAPAH, 22 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima tujuh laporan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lima laporan diklasifikasikan sebagai ‘No Offence Disclosed’ (NOD) manakala dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

“Dua kes itu melibatkan perbuatan merosakkan poster dan mencabut bendera parti. Kedua-dua kejadian berlaku di sekitar Tapah Road,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes masih dalam siasatan.

Secara keseluruhan, Noor Hisam berpuas hati dengan perjalanan kempen yang memasuki hari ke-11 hari ini dan menghargai semua pihak, termasuk parti politik yang bertanding.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua anggota polis yang tersenarai sebagai pengundi awal di PRK berkenaan telah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan tanggungjawab mereka. 

“Seorang daripadanya adalah pengundi berdaftar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah dan seorang lagi di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor. Kematian seorang daripada anggota itu akibat kemalangan jalan raya pada minggu lepas. 

“Bagaimanapun, data dalam sistem masih mencatatkan mereka sebagai pengundi berdaftar,” katanya.

Proses pengundian awal PRK DUN Ayer Kuning di dua pusat pengundian hari ini melibatkan 500 anggota polis dan pasangan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan