POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: MANIFESTO CALON BN KEMUKA TUJUH TAWARAN

20/04/2025 01:34 PM

TAPAH, 20 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir mengemukakan tujuh tawaran dalam manifesto untuk penduduk DUN itu.

Beliau berkata ia merangkumi ekonomi tempatan yang makmur, meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, beliau turut memfokuskan terhadap warga emas, wanita dan Orang Asli, pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning dan perkhidmatan yang berjiwa rakyat.

"Menerusi tawaran ekonomi tempatan yang makmur, ia meliputi penyediaan geran khas untuk usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja; memperluas akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung dan memperkasakan keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang," katanya ketika mengumumkan manifesto itu di Command Centre BN di sini hari ini.

Mohamad Yusri berkata bagi meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat adalah dengan memperluas program kedai bergerak dan Jualan Rahmah serta memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pendidikan berkualiti turut menjadi perhatian utama dalam manifestonya dengan memperjuangkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah, dan prasekolah serta menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Saya juga akan membuka Pusat Khidmat Rakyat dengan waktu operasi lebih lama, termasuk pada hujung minggu dan turut menjalankan lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung," katanya.

Manifesto bertemakan 'Ayer Kuning Sejahtera Bersama' itu cetusan harapan masyarakat setempat hasil daripada mendengar sendiri luahan dan aspirasi yang dizahirkan oleh penduduk Ayer Kuning, kemudian disusun dengan teliti berdasarkan pengamatan di lapangan.

Beliau berkata tiga tekad menjadi asas kepada keseluruhan usaha yang akan dilakukan iaitu menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat dan menghubungkan inisiatif sosioekonomi di kawasan itu selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Manifesto berkenaan bukan sekadar tawaran politik tetapi ikrar, tanggungjawab dan komitmen untuk turun padang dengan mendengar suara rakyat dan bekerja sedaya upaya demi memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan