POLITIK > BERITA

PEMILIHAN PKR: CHANG, AMINUDDIN PERTAHAN JAWATAN KETUA CABANG

14/04/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Tanjong Malim pada Pemilihan PKR 2025 di peringkat Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, yang berlangsung semalam.

Kemenangan Chang yang diperoleh tanpa bertanding itu diumumkan menerusi laman rasmi Pemilihan PKR 2025 di https://pemilihan.keadilanrakyat.org hari ini.

Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson bagi penggal kedua pada pemilihan peringkat cabang parti itu. 

Beliau yang juga Naib Presiden PKR memperoleh 2,147 undi, menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan Datuk M. Ravi, yang memperoleh 1,098 undi.

Di PERAK, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang bertanding di Cabang Padang Rengas pada Pemilihan PKR 2025, berjaya memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Padang Rengas.

Muhammad Kamil yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua AMK cabang itu memperoleh 532 undi, menewaskan pencabarnya Lukman Yahaya yang hanya meraih 85 undi, manakala Zaini Hasan kekal menyandang jawatan timbalan ketua cabang tersebut.

Mengulas kemenangan berkenaan, Muhammad Kamil berkata ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan, sebaliknya mandat itu harus digunakan sebaiknya dalam memastikan pimpinan serta ahli parti di peringkat cabang lebih berdaya saing dalam pelbagai aspek.

Katanya usaha mempersiapkan jentera parti di peringkat cabang juga akan diberi tumpuan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan terus kekal mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Ia bukan satu tugas mudah dan persediaan menuju ke PRU16 juga antara perkara pokok yang harus diberi penumpuan kerana ia merupakan penanda aras bagi kita untuk mengekalkan legasi Kerajaan Perpaduan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pengerusi MPN Perak Mohamad Hairul Amir Sabri, juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar.

Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Rembau dengan memperoleh 661 undi, menewaskan saingannya Mohd Hafiz Mohamad yang memperoleh 508 undi.

Di SARAWAK, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dipilih sebagai Ketua Cabang PKR Miri setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.

Pengerusi MPN Sarawak Roland Engan juga mempertahankan jawatan Ketua Cabang Baram apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini.

PKR mempunyai 31 cabang di Sarawak namun hanya 30 terlibat dalam pemilihan berkenaan setakat ini setelah proses pemilihan di cabang Julau ditangguhkan.

Setiausaha PKR Sarawak Mahmud Epah yang dihubungi Bernama berkata sehingga kini beliau masih belum diberikan maklumat penuh berhubung penangguhan pemilihan cabang berkenaan.

Pemilihan bagi pimpinan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan bermula 11 hingga 20 April.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan