KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pengundian bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang PKR seluruh Kedah hari ini dibatalkan, dan ia akan dijalankan semula esok bermula 8 pagi sehingga 5 petang.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar hari ini.
“Semua anggota AMK dan wanita muda 35 tahun dan ke bawah diminta menjalankan pengundian semula untuk peringkat AMK cabang (seluruh Kedah),” katanya.
Selain itu, JPP memaklumkan tempoh pemilihan bagi peringkat cabang dan wanita PKR di negeri itu pada hari ini dilanjutkan daripada 5 petang kepada 8 malam.
“Anggota AMK dan wanita muda 35 tahun dan ke bawah diingatkan bahawa mereka (juga) perlu mengundi untuk peringkat cabang dan wanita pada hari ini sebelum 8 malam,” katanya.
JPP sebelum ini mengumumkan 296,403 anggota layak untuk mengundi pada pemilihan parti secara dalam talian berasaskan teknologi blockchain, dan secara fizikal melibatkan 16,878 calon yang telah disahkan bertanding bagi pelbagai peringkat jawatan di 222 cabang.
Tarikh pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang ditetapkan bermula hari ini hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri, dengan PKR Kedah menjadi negeri sulung untuk mengadakan pemilihan parti hari ini.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial