KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- PKR memperkenalkan teknologi blockchain dalam sistem pemilihan parti berkenaan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketulenan data pengundi dalam talian, selain menjamin integriti pengundian.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata mekanisme sekuriti itu diperkenalkan dan pengundi atas talian perlu mengesahkan identiti mereka dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar serta melalui pengesahan pengecaman wajah.
“Pengundi fizikal pula perlu membawa kad pengenalan mereka ke pusat mengundi dan perlu melalui pengesahan biometrik cap jari untuk pengesahan identiti.
“Langkah ini menjadikan PKR sebagai parti politik pertama di Malaysia yang menerapkan pendekatan teknologi secara menyeluruh dalam proses demokrasi dalaman, sekali gus memperkukuh kedudukan parti sebagai pelopor pembaharuan politik yang progresif dan berteraskan teknologi,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata proses pemilihan kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi berdaftar yang menggalakkan iaitu mencapai sehingga 296,403 anggota layak mengundi.
“Daripada jumlah itu, 8,040 anggota (2.7 peratus) memilih untuk mengundi secara fizikal, manakala selebihnya memilih menggunakan saluran dalam talian menerusi aplikasi ADIL.
“Proses pengundian bagi kedua-dua kaedah ini akan dijalankan serentak mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang dan keputusan akan diumumkan pada hari sama bagi cabang-cabang mengikut tarikh yang telah ditetapkan JPP,” katanya.
Zaliha berkata pemilihan cabang PKR 2025 kini memasuki fasa akhir iaitu fasa pengundian yang akan berlangsung bermula 11 hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri.
“Sehingga tarikh tutup pencalonan, 16,878 calon disahkan bertanding bagi pelbagai peringkat jawatan di 222 cabang, dengan 31 cabang pula menyaksikan tiada pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.
“Jumlah ini mencerminkan penyertaan aktif keseluruhan anggota dalam memperkukuhkan struktur parti di peringkat akar umbi. JPP merakamkan penghargaan kepada semua calon dan penyokong yang telah menjalankan kempen secara tertib, sihat dan profesional,” katanya.
Zaliha mengingatkan calon bahawa tempoh kempen akan berakhir pukul 11.59 malam pada 19 April dan sebarang bentuk kempen selepas itu termasuk pada hari pemilihan adalah tidak dibenarkan.
JPP turut menyeru semua anggota PKR yang layak mengundi agar menunaikan tanggungjawab dengan penuh integriti dan semangat demokrasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial