POLITIK > BERITA

BAWANI KS CALON PSM PRK DUN AYER KUNING

08/04/2025 06:52 PM

KAMPAR, 8 April (Bernama) -- Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS sekali lagi dipilih sebagai calon mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pemilihan beliau diumumkan Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj di Bilik Gerakan PSM DUN Ayer Kuning di sini hari ini.

Menurut Bawani, ini merupakan kali kedua beliau bertanding di kerusi itu dan akan menggunakan kelebihan selaku anak jati Ayer Kuning bagi meraih undi.

Mengakui PSM tidak mempunyai peruntukan besar seperti parti lawan namun beliau berkata ia tidak menjadi halangan untuk mereka menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat khususnya di DUN itu.

“Kita bukan parti baharu sebaliknya telah wujud lebih 30 tahun dahulu. Jadi, saya fikir tujuan kita bertanding ini adalah untuk menawarkan alternatif serta memastikan suara serta permasalahan yang dibawa rakyat lebih didengari,” katanya pada sidang media selepas pengumuman itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan menafikan tujuan parti berkenaan bertanding pada PRK itu untuk memecah undi.

Beliau berkata dakwaan itu tidak seharusnya timbul memandangkan PSM tidak mempunyai peruntukan kewangan yang besar untuk mengadakan pelbagai majlis atau program bagi menarik undi penduduk.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, yang rebah akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Feb lepas. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 April dan 22 April manakala 26 April sebagai hari pengundian.

Pada PRU15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan PSM (586).

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan