PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH SUSULAN BIMBANG TERHADAP PENGELUARAN, EKSPORT LEMAH

30/04/2025 09:27 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan permintaan eksport yang lemah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata perkara ini mungkin menyebabkan paras stok simpanan dalam negara meningkat.

Ng memberitahu Bernama iaitu pasaran menjadi lebih berhati-hati apabila para peniaga menjangkakan peningkatan pengeluaran bermusim dalam beberapa minggu akan datang yang mungkin melebihi kadar penggunaan dan seterusnya menekan harga.

"Permintaan kekal lembap terutamanya daripada pengimport utama seperti India dan China dengan pembeli teragak-agak disebabkan bekalan minyak sayuran global mencukupi dan berlaku turun naik harga.

"Tanpa peningkatan eksport yang ketara, peningkatan pengeluaran yang dijangkakan boleh menyebabkan inventori domestik yang lebih tinggi sekali gus menambah tekanan iaitu penurunan ke atas pasaran," katanya.

Ng berkata paras sokongan serta-merta dilihat pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pula pada RM4,100 satu tan.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 merosot RM39 kepada RM3,971 satu tan, Jun 2025 turun RM35 kepada RM3,938 satu tan dan Julai 2025 berkurang RM32 kepada RM3,911 satu tan.

Kontrak Ogos 2025 mengecil sebanyak RM30 kepada RM3,905 satu tan, September 2025 susut RM26 kepada RM3,902 satu tan dan Oktober 2025 menurun RM20 kepada RM3,904 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 64,943 lot berbanding 55,576 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 233,859 kontrak daripada 234,571 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Mei Selatan merosot RM20 kepada RM4,080 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan