PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

21/04/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih rendah kerana pelabur mengambil keuntungan berikutan ketegangan perang perdagangan yang semakin meningkat.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.72 mata atau 0.18 peratus kepada 1,496.68 daripada 1,499.40 ketika ditutup pada Jumaat. 

Indeks dibuka 2.68 mata lebih tinggi kepada 1,502.08 dan seterusnya bergerak rendah pada 1,495.99.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 448 berbanding 241 manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,317 kaunter tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 867.10 juta unit bernilai RM517.69 bilion.

Hong Leong Investment Bank berkata hala tuju pasaran jangka terdekat bergantung pada rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) dengan rakan dagangan utama termasuk Malaysia menjelang akhir April ini.

“Mungkin ada kemajuan dalam rundingan tersebut tetapi perbincangan dijangka berpanjangan, mengekalkan sentimen berhati-hati dengan jumlah aktiviti dagangan yang rendah.

“Pelabur juga akan terus menghadapi cabaran, iaitu ketegangan antara AS dan China semakin meningkat, risiko kemelesetan, ketidaktentuan dasar Rizab Persekutuan AS, hasil Perbendaharaan tidak menentu, musim syarikat tersenarai AS mengumumkan pendapatan ketika ini dan laporan Mei di Bursa Malaysia,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM6.90, Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM19.98, CelcomDigi melonjak tujuh sen kepada RM3.66, bagaimanapun Maybank susut dua sen kepada RM10 manakala Public Bank dan CIMB berkurangan tiga sen masing-masing kepada RM4.36 dan RM6.85.

Bagi saham aktif, NexG dan One Glove menambah satu sen masing-masing kepada 33 sen dan 21.5 sen, Magma menokok 2.5 sen kepada 32 sen, Ingenieur Gudang dan Sumisaujana tidak berubah masing-masing pada empat sen dan 18.5 sen, manakala Velesto and Tanco menguncup satu sen masing-masing kepada 15 sen dan 88 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 28.60 mata kepada 11,092.46, Indeks FBMT 100 turun 23.81 mata kepada 10,880.92, Indeks FBM Emas Shariah kurang 25.04 mata kepada 10,885.09, Indeks FBM 70 merosot 50.23 mata kepada 15,563.40 manakala Indeks FBM ACE melonjak 4.11 mata kepada 4,579.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 42.14 mata kepada 17,991.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.69 mata kepada 144.39. Indeks Tenaga susut 6.65 mata kepada 659.22 dan Indeks Perladangan merosot 8.26 mata kepada 7,218.12.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan