PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP TINGGI EMPAT HARI BERTURUT-TURUT

14/04/2025 08:53 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi untuk dagangan empat hari berturut-turut hingga hari ini dipacu oleh pengukuhan ringgit dan pasaran ekuiti, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran berhenti seketika selepas ketidaktentuan yang melanda bon dan pertukaran asing Amerika Syarikat (AS) minggu lepas.

Beliau berkata Presiden Bank Rizab Persekutuan Boston, Susan Collins memberi isyarat iaitu bank pusat AS bersedia untuk terlibat jika hasil Perbendaharaan AS meningkat secara mendadak, sekali gus membantu meredakan sebahagian ketegangan yang berlaku.

“Buat masa ini, emas sedang melalui fasa pengukuhan dan di Malaysia dengan pasaran ekuiti serta ringgit yang ditutup lebih kukuh, minat tempatan terhadap logam kuning itu secara semula jadi sedikit mereda,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 meningkat kepada US$3,233.40 setiap auns troy daripada AS$3,224.00 setiap auns troy pada Jumaat manakala kontrak Mei 2025 naik kepada US$3,243.80 setiap auns troy daripada US$3,234.40 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak bagi Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 masing-masing menokok kepada US$3,256.30 setiap auns troy daripada US$3,246.80 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menurun kepada 330 lot daripada 1,193 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka susut kepada 364 kontrak daripada 1,232 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 11 April 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,230.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan